Wei Chong-Kai Wun naib juara Malaysia Masters 2023

Wei Chong-Kai Wun naib juara Malaysia Masters 2023

Man Wei Chong-Tee Kai Wun tunduk kepada Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada perlawanan akhir beregu lelaki Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Patah sayap bertongkat paruh, itu peribahasa yang menggambarkan penat lelah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ketika dinobatkan naib juara dalam Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini sebentar tadi.

Sejak digandingkan bersama pada 2021 lalu, kejohanan bertaraf Super 500 ini merupakan pencapaian terbaik mereka, walaupun tewas kepada pasangan Korea, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 24-22, 19-21 dalam perlawanan akhir yang diheret sehingga ke set penentuan.

Biarpun Wei Chong-Kai Wun dilihat sukar mengejar lawan dalam dua set awal dan cuba mendahului pada set ketiga, namun, mereka akhirnya akur dengan keputusan yang berpihak kepada pasangan No. 16 dunia itu.

Dalam aksi penuh debaran, semasa beregu muda negara itu sedang mendahului 8-7 pada set ketiga, Min Hyuk dilayangkan kad merah oleh pengadil gara-gara cuba melengah-lengahkan perlawanan dan hukuman itu turut menghadiahkan satu mata kepada pasangan Malaysia.

Selaku naib juara pada kejohanan berstatus Super 500 itu, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai AS$15,960 (RM73,379).

Ketika ditemui pemberita, Wei Chong menganggap peluang beraksi dalam kejohanan itu memberinya pengalaman berharga untuk meneruskan kecemerlangan selepas sudah lama tidak beraksi sejak Februari lalu.

“Rasa gembira juga dapat main kali ini, sebab saya cedera pada Februari, kemudian pulih tetapi selepas itu Kai Wun pula cedera, kita pun sudah terlepas banyak kejohanan. Ini kejohanan yang terbaik untuk kami dan akan berlatih lebih baik lagi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pungutan mata ke Sukan Olimpik 2024, Kai Wun berkata, dalam usaha memperbaiki kelemahan, mereka perlu beri tumpuan dalam setiap perlawanan yang menawarkan mata ke temasya itu.

“Untuk kutipan mata, semua pun bermula dari kosong. Jadi kami hanya pamerkan aksi terbaik untuk pergi jauh lagi cuma kena fokus lebih dalam perlawanan,” katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, pemain perseorangan lelaki India, H. S. Prannoy menundukkan Weng Hong Yang dari China 21-18, 13-21, 21-19 untuk menjuarai kategori tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya