PHNOM PENH: Umar Osman menerima dua kejutan besar dalam kariernya semalam, memenangi pingat emas pada penampilan sulung Sukan SEA dan lebih mengejutkannya adalah memecah rekod 400 meter (m) berusia 22 tahun.
Kata atlet Johor berusia 20 tahun itu, dua kejutan yang diraih di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh dengan catatan 46.34 saat (s), memadam rekod kebangsaan milik Zaiful Zainal Abidin – 46.41s yang dilakukan pada Kejohanan Remaja Asia 2001 di Brunei.
Dia juga muncul pelari Malaysia pertama meraih emas 400m lelaki Sukan SEA sejak Zafril Zuslaini memenanginya di Kuala Lumpur 2001.
“Saya langsung tidak sangka dapat memecahkan rekod kebangsaan. Saya jadi sebak sebab ini kali pertama saya masuk Sukan SEA dan berjaya membawa pulang emas.
“Banyak pengorbanan saya lakukan untuk kejayaan hari ini, antaranya menangguhkan pelajaran, jadi apa yang saya usahakan selama ini rasa sangat berbaloi dengan kejayaan ini,” jelas Umar yang sebak sejurus mengetahui dia kini adalah pemegang rekod kebangsaan acara 400m lelaki.
Umar menewaskan pelari Filipina, Umajesty Wesley Lachica Williams (46.52s), manakala gangsa milik Frederick Cabatu Ramirez, juga dari Filipina.
Sementara itu, Shereen Samson Vallabouy memenuhi sasaran memenangi saingan 400m wanita selepas mengetepikan cabaran sengit dua pelari Vietnam,
Shereen, 25, yang merupakan anak kepada bintang olahraga negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary melepasi garisan penamat dengan kepantasan 52.53s, menewaskan Nguyen Thi Huyen (53.27s) dan Nguyen Thi Hang ketiga (53.84s).
“Saya berusaha keras untuk memenangi acara 400m di Sukan SEA sejak menyertai temasya ini pada 2015.
“Pada masa sama, segala latihan di Amerika Syarikat membantu meningkatkan lagi keupayaan terutama membabitkan teknik larian dalam acara 400m.
“Apa yang saya boleh saya katakan, tiada cabaran besar cuma mahu buat yang terbaik selain turut mendapat sokongan daripada keluarga,” katanya yang merupakan pemegang rekod kebangsaan 51.80s yang dilakukan di California, bulan lalu.