PETALING JAYA: Mohd. Zaiful Zainal Abidin percaya, Umar Osman mampu menjadi pelari Malaysia pertama mencatat bawah 46 saat (s) selepas melihat atlet muda negara itu memecah rekod kebangsaan miliknya yang berusia 22 tahun.
Selasa lalu, Umar, melakar sensasi memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam 400 meter (m) lelaki pada Sukan SEA sejak 2001 bersama rekod baharu kebangsaan 46.34 saat (s).
Catatan tersebut memadam rekod lama yang dilakukan Zaiful ketika berusia 19 tahun iaitu 46.41s pada Kejohanan Remaja Asia 2001 di Brunei.
“Semasa saya tengok Umar lari saya dapat rasakan dia akan dapat sesuatu dan dia menang. Sebenarnya dalam kejohanan di Filipina sebelum ini, saya ada buat panggilan video dengan dia dan saya dapat rasakan Umar akan capai sesuatu.
“Dalam hati, saya cakap dia (Umar) akan dapat pecahkan rekod saya dan sekarang dia telah buktikan. Saya juga yakin dan percaya Umar tidak lama lagi akan menjadi atlet pertama negara berlari di bawah 46 saat (s) dalam acara 400m.
“Saya juga bangga dengan diri dan pencapaian saya sebelum ini kerana telah menjadi aspirasi kepada seseorang untuk memecahkan rekod itu, sudah lama saya tunggu dan Umar berjaya mengatasi catatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Zaiful percaya, faktor kejayaan Umar juga berhubung rapat dengan pembangunan sains sukan yang diterapkan dalam program latihan, khususnya di peringat Majlis Sukan Negeri Johor.
“Salah satu faktor kejayaan ialah sains sukan kita sudah bagus, perkembangan Umar di Johor sangat bagus.
“Di sana ada ahli sains sukan yang pantau perkembangan dia sambil dikendalikan oleh jurulatih. Inilah yang kita mahukan,” katanya.