SHAH ALAM: UiTM FC yang sebelum ini membuat keputusan tidak bersaing dalam Liga Super, kini kembali dengan memilih kejohanan Liga M4 dan menjenamakan semula pasukan kepada UiTM United.
Selain melakukan perubahan besar untuk program pembangunan Bola Sepak UiTM, pasukan itu yang mengekalkan tradisi 100 peratus pemain dalam kalangan penuntut UiTM menyasarkan untuk meraih slot ke Liga M3 musim depan.
Sesi pelancaran logo baharu UiTM United serta memperkenalkan pemain-pemain UiTM United telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor HEP, UiTM selaku Presiden UiTM United hari ini.
Pengurusan tertinggi UiTM telah memberikan sokongan yang penuh bagi pasukan UiTM United untuk terus kekal di Liga Bola Sepak Malaysia. Ini kerana, UiTM mempunyai sistem pembangunan atlet yang sangat baik di mana UiTM sentiasa melahirkan atlet-atlet bola sepak bagi mewarnai liga-liga Bola Sepak Malaysia.
“Saya yakin dengan penjenamaan yang baharu akan memberikan semangat yang baru bagi pasukan UiTM dan berharap agar semua pemain-pemain yang dipilih akan memberikan komitment yang tinggi pada musim kali ini sekaligus dapat mengharumkan nama Universiti tercinta,” kata Mohd. Sazili.
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan UiTM United, Ahmad Tarmizy Mohammed, berkata sasaran pasukan kali ini adalah sekurang-kurangnya berada di kedudukan empat terbaik dalam saingan Liga M4.
“UiTM United tidaklah meletakkan harapan yang tinggi untuk menjadi juara pada musim ini tetapi akan berjuang sehabis baik untuk menjadi empat pasukan terbaik dan berusaha untuk mendapatkan tempat di Liga M3 pada musim hadapan,” ujarnya.
UiTM United akan membuka tirai Liga M4 2023 menentang pasukan Real Chukai FC pada Sabtu ini di Stadium UiTM Shah Alam. – UTUSAN ONLINE