GILA, New Mexico: Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan ‘membuka semula rundingan’ berkenaan penyertaan wanita transgender dalam acara wanita elit.
Tindakan itu susulan kemarahan yang disuarakan pelbagai pihak atas kejayaan Austin Killips menjadi pelumba transgender pertama memenangi perlumbaan peringkat wanita UCI di Tour of Gila, Ahad lalu.
Pada masa sama, Persatuan Berbasikal Britain juga mempertimbangkan untuk mengharamkan transgender berlumba dalam saingan wanita elit.
“Kami mendengar suara atlet wanita dan kebimbangan mereka tentang ‘padang permainan yang sama’ antara pelumba dengan mengambil kira semua elemen, termasuk evolusi saintifik,” tegas UCI.
Olimpian tiga kali dari Amerika, Inga Thompson berkata, dia turut dihubungi rakan-rakannya yang mahu dia bersuara dalam isu tersebut.
“Mereka marah, sangat marah. Mereka diminta bersikap baik dan sopan tetapi tidak boleh melihat Austin tanpa rasa marah.
“Mereka telah berlatih selama ini untuk berada dalam perlumbaan itu dan tidak mempunyai peluang yang adil dalam hal ini,” katanya.
UCI akan membincangkan isu transgender dalam mesyuarat di Glasgow, Ogos nanti. – AGENSI