PHNOM PENH: Pemain pertahanan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Ubaidillah Shamsul Fazili mengakui sudah terbayang dia akan dikecam teruk oleh penyokong tempatan andai aksi pembukaan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 malam tadi tidak memihak kepada Malaysia.
Kegembiraan Ubaidillah yang menjaringkan gol pembukaan pada minit keempat hampir bertukar menjadi igauan ngeri selepas dia tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-17 ketika cuba untuk mengeluarkannya dari kawasan berbahaya.
Bagaimanapun pemain kelahiran Kelantan itu lega apabila masih mendapat sokongan rakan-rakan sepasukan dan ketua jurulatih, E. Elavarasan yang tidak menyalahkannya sehingga dia mampu untuk kembali memberi tumpuan penuh kepada perlawanan.
Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan 5-1, dengan Syahir Bashah dan Najmudin Akmal Kamal Akmal turut mencatat nama sebagai penjaring, selain dua gol sendiri pemain Laos, Anantaza Siphogphan dan Phoutthavong Sangvilay.
“Saya bersyukur ada rakan sepasukan yang banyak berikan sokongan, begitu juga barisan kejurulatihan. Mereka tidak ada memberikan reaksi yang bukan bukan, sebaliknya memberikan kata-kata sokongan buat saya untuk meneruskan perlawanan.
“Bila saya tengok pemain Laos pula menjaringkan gol sendiri untuk Malaysia kembali di hadapan, saya jadi lega, kalau tidak balik Malaysia pasti saya kena kecam. Memang kemenangan ini sedikit sebanyak menutup kesilapan yang saya buat.
“Memang saya bersembang dengan rakan sepasukan, jika Malaysia kalah, pasti saya akan kena (kecam) dengan peminat di tanah air.
“Bagi saya, apa apa yang terjadi, adalah proses pembelajaran untuk saya, sama seperti di Singapura (Piala Merlion), saya banyak buat kesilapan, yang penting kita belajar dari kesilapan itu,” jelas Ubaidillah yang ditemui pemberita ketika tamat perlawanan di Stadium Prince, Phnom Penh.
Dalam pada itu, Ubaidillah yang membuat penampilan keduanya di temasya sukan diwtahunan ini menghormati Thailand sebagai sebuah pasukan hebat, ditambah pasukan Gajah Perang itu juga diletakkan sebagai antara pasukan pilihan untuk merangkul pingat emas untuk edisi kali.
Tetapi itu tidak bermakna dia dan rakan sepasukan akan memberikan laluan mudah buat Thailand kerana Malaysia juga turut pasang hasrat besar meneruskan momentum kemenangan dalam peringkat kumpulan.
“Kita tahu Thailand pasukan yang kuat dan pasukan pilihan di Sukan SEA, jadi kami perlu berusaha lebih kuat untuk menentang mereka,” tambah Ubadillah.
Malaysia bakal membuat perhitungan dengan Thailand pada Sabtu bagi aksi Kumpulan B. – UTUSAN ONLINE