PUTRAJAYA: Tiada sebarang perubahan senarai pemain badminton dalam program Road To Gold (RTG) biarpun berlaku penurunan ranking dunia, selain beberapa wakil negara tersingkir awal dalam Malaysia Masters minggu lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jelas syarat program RTG adalah bekas pemenang pingat Olimpik dan atlet yang berada dalam senarai 10 terbaik dunia berdasarkan sukan masing-masing.
“Tidak ada (pemain badminton keluar dan masuk program RTG).
“Kalau mereka hendak masuk mestilah berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet
Pembangunan Sukan (JKPS) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya semalam.
Menurut Hannah, bukan mudah untuk menyingkirkan atlet daripada program, dan ia memerlukan perbincangan lanjut selain perlu mendapat nasihat daripada penasihat teknikal.
“Kita mempunyai penasihat teknikal seperti Datuk Dr. Ramlan Aziz, Josiah Ng dan Datuk Lee Chong Wei, perspektif mereka perlu diambil kira, itulah keputusan dalam program RTG,” katanya.
Kemas kini ranking badminton dunia menyaksikan, Lee Zii Jia yang tersingkir di pusingan kedua Malaysia Masters menduduki No. 10 dunia.
Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (No.3 dunia) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (No.7 dunia).
Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah pula di No.11 dunia namun, dijangka meningkat selepas meraih gelaran naib juara Malaysia Masters Ahad lalu.
Selain itu, beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (No.18 dunia) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (No.7 dunia), di mana kedua-dua pasangan berkenaan terkandas di pusingan pertama Malaysia Masters.
Ditanya mengenai perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Hannah berharap pemain berumur 25 tahun itu dapat fokus dan memberikan yang terbaik sepanjang kelayakan Olimpik terutama selepas mendapat sentuhan jurulatih baharu, Wong Tat Meng.
“Saya gembira untuk Zii Jia kerana sebelum pengumuman, dia mempunyai masalah tiada jurulatih. Ia sangat penting buat dia mempunyai jurulatih dan bergerak ke depan kerana kita tahu dia mahu memenangi emas,” kata Hannah.
Mengulas sama ada gaji Tat Meng termasuk dalam program RTG, beliau berkata, ia sama seperti pengumuman program itu sebelum ini.
“Sama seperti pengumuman sebelum ini, program RTG adalah tambah baik kepada atlet, jurulatih pula adalah keperluan asas (untuk atlet). Jadi peranan RTG adalah penambah baik,” katanya.