PHNOM PENH: Kemenangan 5-1 ke atas Laos kelmarin tidak memberi makna jika Malaysia gagal ke separuh akhir Sukan SEA, tegas pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara, E. Elavarasan.
Perjalanan Malaysia pada edisi kali ini amat berliku apabila diletak dalam Kumpulan B bersama gergasi bola sepak rantau ini.
Meskipun lulus ujian pertama, cabaran sebenar Malaysia hanya bermula esok apabila berdepan juara 16 kali, Thailand.
“Kita perlu sedar kita berada dalam kumpulan yang sukar.
“Sebenarnya lima gol dalam satu perlawanan bukan sesuatu yang besar kerana anda akan menentang Thailand selepas ini, jika anda tewas, apa erti kemenangan lima gol itu? Tiada erti, melainkan seri (dengan Thailand) atau lakukan sesuatu yang lain.
“Bagaimanapun ketika ini persaingan peringkat kumpulan masih terbuka,” katanya.
Selepas Thailand, Malaysia akan berdepan juara bertahan, Vietnam pada Isnin depan, diikuti Singapura pada 11 Mei.
Pengendali berusia 61 tahun itu bagaimanapun memuji prestasi pemain ketika menentang Laos biarpun hanya sempat menjalani latihan pusat tiga hari dan tiba di Phnom Penh 24 jam sebelum sepak mula.
Pada aksi di Stadium Prince, skuad muda Harimau Malaya meraih gol menerusi Ubaidullah Shamsul Fazili, Syahir Bashah, Najmudin Akmal Kamal Akmal dan dua jaringan sendiri Laos.
“Selepas menjalani latihan yang singkat, saya akui lega dengan keputusan yang diraih terutama apabila pasukan dapat meraih jumlah gol yang banyak.
“Namun, itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana negara-negara lain juga menjaringkan banyak gol.
“Kita agak bergelut di awal permainan dan ia perkara biasa memandangkan pasukan ini baru dibentuk dengan ramai pemain berbeza. Saya percaya kemenangan boleh menaikkan semangat mereka,” katanya.