PHNOM PENH: Lee Yiat Qing hanya memilih darjah kesukaran rendah, rutin yang biasa dilakukan ketika latihan dan terjunan ‘selamat’ memadai untuk membawa penerjun berusia 15 tahun itu merangkul pingat emas 10 meter (m) individu wanita Sukan SEA 2023 semalam.
Membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan itu, apatah lagi dia agak baharu dalam acara platform, Yiat Qing tidak diberi harapan untuk meraih emas dan sasaran utama sebenarnya diletak di bahu rakan sepasukan, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj.
Begitupun kesilapan Eilisha pada terjunan keempat membawa padah apabila kedudukannya sebagai pendahulu dipintas, dan Yiat Qing dengan pendekatan selamat masih mampu menerajui saingan dengan mengumpul 253.80 mata keseluruhan.
Bui Thi Hong Giang dari Vietnam (242.20 mata) meraih perak, manakala penerjun Indonesia, Gladies Lariesa Garina Haga (228.00 mata) membawa pulang gangsa.
Kejutan Yiat Qing membolehkan Malaysia mempertahankan acara yang sebelum ini dikuasai Datuk Pandelela Rinong, sekali gus menyumbang emas ketiga terjun di Kemboja.
“Saya hanya melakukan terjunan seperti ketika latihan dan inilah keputusannya. Saya tidak sangka menang emas selepas mengambil kira semua faktor, termasuk ia penampilan pertama di Sukan SEA.
“Saya bangga sebab baru berlatih 10m (platform) kerana sebelum ini acara saya ialah 3m (papan anjal). Saya tukar acara pada hujung tahun lalu,” jelas Yiat Qing.
Ditanya sama ada kemenangan itu menjadi titik perubahan untuk beralih ke acara platform, dia tidak menolak kemungkinan itu, malah mempertimbangkan untuk terjun dalam kedua-dua acara.
Remaja kelahiran Kuala Lumpur itu berharap dapat bersaing dalam Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Terdahulu, skuad terjun negara sudah meraih dua pingat emas menerusi Kimberly Bong dan Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 3m papan anjal lelaki serta wanita.