PHNOM PENH: Persekutuan Renang Malaysia (MS) sudah mula mencongak strategi untuk mempertahankan gelaran juara di rantau Asia Tenggara apabila bersedia memanggil beberapa atlet senior bagi menghadapi Sukan SEA Thailand 2025.
Skuad terjun negara unggul menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan untuk saingan Sukan SEA Kemboja 2023, hasil sumbangan Muhammad Syafiq Puteh, Kimberly Bong, Enrique Maccartney Harold serta Lee Yiat Qing.
Biarpun percaturan MS mempertaruhkan keseluruhan penerjun muda di Phnom Penh kali ini berhasil, Setiausahu Agung MS, Mae Chen enggan menggunakan pendekatan sama apabila temasya sukan dwitahunan ini dilangsungkan di Bangkok dalam tempoh dua tahun lagi.
“Ketika saya bercakap dengan Persatuan Renang Thailand, mereka memberitahu saya mereka sudah bersedia untuk mempertandingkan lapan acara (Sukan SEA 2025).
“Jika kami mempunyai lapan acara dan sekiranya ada di antara atlet muda belum bersedia dalam mana-mana acara itu, kita mungkin membariskan atlet senior untuk menyertai pasukan, kemungkinan Wendy Ng Yan Yee atau Nur Dhabitah Sabri jika mereka masih mahu bertanding di Sukan SEA,” katanya.
Dalam pada itu, Mae Chen juga menjelasn pihak MS sedang merangka pelan untuk terus memastikan penerjun muda sedia ada mendapat pendedahan yang sewajarnya agar mereka boleh menggalas tugas di peringkat lebih tinggi.
Ketika ini, perancangan sedia ada adalah untuk menghantar mereka berkelana ke China selama sebulan sebelum menyertai Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, Jepun pada Julai hadapan.
“Penerjun wanita kami merupakan antara yang paling lemah dari segi darjah kesukaran tetapi Yiat Qing telah menampilkan aksi di luar jangkaan kami apabila dia lebih tenang ketika hari saingan,” tambah Mae Chen.