PHNOM PENH: Pemburuan 40 pingat emas Malaysia bermula esok sebaik sahaja Sukan SEA Kemboja 2023 membuka tirai secara rasmi hari ini.
Biarpun sasaran tersebut dianggap ‘selamat’ dengan mempertaruhkan 440 orang atlet muda yang membuat penampilan sulung, iaitu 65 peratus daripada 676 atlet yang dibawa ke Phnom Penh, namun beberapa sukan seharusnya tidak berdepan masalah menjadi ‘lubuk’ emas kerana kehebatan mereka di pentas lebih tinggi.
“Saya sentiasa percaya atlet muda berumur bawah 23 tahun ada keinginan tinggi untuk mencapai kejayaan, cuma kita perlu beri mereka pendedahan.
“Saya juga yakin mungkin adalah atlet yang kita sangka akan mencipta kejutan,” kata Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Mohd. Nasir Ali kepada Utusan Malaysia.
Hoki berpotensi menyapu bersih empat emas yang ditawarkan dalam acara padang dan dalam dewan lelaki serta wanita.
Pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita belum tewas semua tiga perlawanan yang menggunakan format round-robin, malah skuad lelaki memenangi keempat-empat saingan dengan berpesta gol.
Anak-anak buah Mohd. Hanip Che Halim mengumpul 39 gol hasil kemenangan 10-1 ke atas Kemboja, membenam Filipina 19-10, menewaskan Singapura 5-0 dan mengalahkan Thailand 5-3.
Karate yang dikendalikan jurulatih dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy juga mampu menjadi sandaran dan mereka meletakkan sasaran tiga pingat emas, dengan salah satu daripadanya menerusi pembawa Jalur Gemilang upacara pembukaan, R. Sharmendran.
Ia juga bakal menjadi misi serampang dua mata buat Sharmendran yang memburu emas peribadi keempat berturut-turut sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam kategori bawah 75 kilogram (kg).
Kredibilit terjun di rantau ini tidak boleh dipertikaikan meskipun Persekutuan Renang Malaysia (MS) menyenaraikan atlet muda untuk edisi kali ini.
Bagaimanapun ia menjadi medan ujian buat penerjun lelaki negara seperti Syafiq Puteh, Gabriel Gilbert Daim dan Bertrand Rhodict Lises untuk meneruskan legasi atlet senior, Ooi Tze Liang secara terangan mencabar mereka untuk beraksi cemerlang sekiranya mengidam untuk merampas tempat dalam skuad elit kebangsaan.
Tatkala sukan-sukan unggul negara berkobar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, olahraga yang membariskan atlet paling ramai, iaitu 65 atlet masih lagi dalam keadaan caca marba apabila merombak semula sasaran mereka biarpun pada mulanya mahu mencapai 10 pingat emas.
Biarpun sasaran mereka sudah berkurangan daripada yang ditetapkan sebelum ini, olahraga tetap akan menjadi lubuk pingat buat kontinjen Malaysia berdasarkan prestasi dan kredibilit atlet sedia ada seperti jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura Anuar (lompat kijang), Jackie Wong (baling tukul besi lelaki), Grace Wong (baling tukul besi wanita) dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah wanita).
Berdasarkan congakkan awal, pungutan 40 pingat emas mungkin tidak akan mengubah kedudukan Malaysia dalam carta keseluruhan kerana pada edisi lalu, kontinjen negara menamatkan saingan dengan 39 pingat emas, 45 pingat perak dan 90 pingat gangsa untuk mengakhiri saingan di tangga enam keseluruhan, di bawah Singapura yang meraih 47 pingat emas, 46 pingat perak dan 73 pingat gangsa.
“Memang persatuan ada isu-isu yang mereka hadapi seperti kecederaan atlet ataupun kedudukan atlet sebelum nak bertanding, jadi kami (sekretariat Malaysia) ambil maklum dan cuba menangani isu begini, tetapi fokus kita tetap cuba untuk mencapai 40 pingat emas,” tambahnya.