PHNOM PENH: Tiada siapa menduga, atlet wusyu negara, Tan Cheong Min mampu menjadi atlet paling berjaya dalam kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2023 apabila menggondol dua emas dalam penampilan pertamanya.
Cheong Min menambah koleksi pingat emasnya semalam apabila meraih 19.16 mata dalam saingan Taolu wanita iaitu gabungan Nandao dan Nangun.
Atlet kelahiran Melaka itu sebelum ini sudah pun meraih emas dalam acara Nanquan, Rabu lalu.
Kejayaan ini turut melegakan Persekutuan Wusyu Malaysia yang pada awalnya meletakkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas di temasya sukan kali ini.
“Pingat emas ini amat berharga untuk saya kerana ketika Sukan SEA yang lalu (Hanoi), acara saya tidak dipertandingkan.
“Saya memang pingat emas Kejohanan Dunia dalam Nandao tetapi di Sukan SEA, saya menang pingat emas acara Nanquan dan gabungan acara Nangun-Nandao.
“Jika acara ini diasingkan, mungkin saya sudah bawa pulang tiga pingat emas, tetapi dua pingat emas juga masih berbaloi mengambil kira usaha yang saya dah curahkan untuk temasya ini.
“Saya amat gembira kerana terpaksa menanti selama empat tahun untuk beraksi di Sukan SEA dan kini berjaya memenangi pingat emas,” kata atlet berusia 24 tahun itu.
Ia juga petanda yang baik untuk skuad wusyu negara menjelang Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan dengan Cheong Min mengidam untuk mengatasi kedukaan di Jakarta 2018 apabila pulang dengan tangan kosong.
“Saya cuba mengubah beberapa kombinasi pergerakan saya, kesukarannya adalah hampir sama dengan rutin persembahan saya ketika Kejohanan Dunia 2017 dan 2019.
“Saya tidak mahu mengubah terlalu banyak tahap darjah kesukaran rutin saya kerana saya mahu menjadi lebih baik untuk Sukan Asia memandangkan saingan itu masih terlalu jauh.
“Harap pada Sukan Asia mampu menghadirkan emas,” katanya.