PHNOM PENH: Skuad hoki dalam dewan negara gagal mempertahankan pingat emas Sukan SEA apabila dikejutkan 1-2 oleh Indonesia dalam penentuan shoot-out dalam aksi final yang cukup mendebarkan sebentar tadi.
Dalam aksi final di Dinosaur Park Hall itu, skuad negara bermula baik dan mendahului tiga gol menerusi Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke-16, Muhammad Firdaus Omar (minit 21) dan Faridzul Afiq Mohd (minit 24).
Bagaimanapun, kealpaan ketika tempoh permainan berbaki tiga minit membawa padah buat anak buah Mohd. Hanip Che Halim apabila Indonesia menjaringkan tiga gol pantas yang bermula dengan jaringan Muhammad Firdaus pada minit ke-37.
Dua minit kemudian Ferdian Rahman menjaringkan gol kedua Indonesia sebelum jaringan penyamaan mereka menerusi pukulan sudut penalti Revo Priliandro ketika perlawanan hanya berbaki kira-kira lima saat sekali gus memusnahkan impian Malaysia.
Kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan pemenang ditentukan menerusi shoot-out, kegagalan selepas Izham Azhar dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyudahkan pukulan menghadiahkan kemenangan kepada Indonesia.
Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia melepaskan gelaran juara yang dimenangi dua kali beturut-turut pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Filipina.
“Kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi bukan rezeki kami untuk kali ini. Mungkin ada sedikit kelekaan di bahagian pertahanan, dan mungkin sebab itu kita bolos saat akhir,” kata kapten skuad negara, Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah dalam keadaan sebak selepas perlawanan.- UTUSAN ONLINE