PHNOM PENH: Nasib serupa menimpa skuad hoki dalam dewan wanita negara apabila terlepas pingat emas di Sukan SEA Kemboja sebentar tadi.
Skuad wanita negara tewas 1-2 kepada Thailand juga menerusi penentuan shoot-out selepas aksi final yang berlangsung di Dinosaur Park Hall berkesudahan seri tanpa jaringan.
Dalam penentuan shoot-out, Iren Hussin dan Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun gagal menyudahkan pukulan masing-masing sekali gus menyaksikan gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi skuad negara pada 2019 di Filipina.
Pada aksi di Sukan SEA Filipina itu, Malaysia menumpaskan Thailand 2-0 juga menerusi penalti shoot-out.
Ketua jurulatih skuad wanita, Mohd. Badrul Hisham Osman menganggap rezeki tidak memihak kepada anak-anak buahnya selepas mereka memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan termasuk pada perlawanan akhir.
“Pemain sudah memberikan yang paling terbaik, sehabis kudrat mereka. Tetapi mungkin bukan rezeki kami,” katanya.
Terdahulu skuad lelaki gagal mempertahankan pingat emas di pentas Sukan SEA apabila tewas 1-2 kepada Indonesia menerusi penentuan shoot-out di gelanggang sama.-UTUSAN ONLINE