PETALING JAYA: Pernah mempunyai sejarah ‘diratah’ 14-0 dalam Sukan SEA (kepada Thailand di Vientiane 2009), malah tidak menghantar pasukan pada temasya terakhir di Hanoi tahun lalu, kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur bagaimanapun percaya skuad yang dibawa ke Kemboja kali ini adalah berbeza.
Biarpun akan membuka kempen dengan menentang juara bertahan dan lawan yang bakal berentap pada Piala Dunia Wanita 2023, Vietnam, namun Steffi yakin rakan-rakan sepasukannya mampu memberi saingan terbaik di Phnom Penh hari ini.
Katanya, kehadiran Ketua Jurulatih dari Jordan, Soleen Al-Zou’bi bukan sahaja merubah mentaliti pemain, malah menerapkan corak permainan lebih baik serta membawa bola sepak Malaysia ke hala tujuh yang betul.
Kemasukan beberapa muka baharu yang lebih agresif dan berkualiti juga membawa perbezaan kepada skuad Malayan Tigress, dan hasilnya dapat dilihat dalam beberapa aksi persahabatan yang dilalui sebelum berlepas ke Kemboja.
“Memang pasukan kali ini lebih baik daripada sebelum ini, mungkin yang terbaik pernah kita kumpulkan. Ia dapat dilihat dalam aksi persahabatan sebelum ini.
“Sebagai sebuah pasukan, kita nak pastikan tahap kita semakin meningkat dan saya berharap momentum ini berterusan,” katanya.
Steffi mengakui sesi latihan ketua jurulatih yang menerapkan permainan berintensiti tinggi banyak mengubah gaya permainan pasukan dan semua pemain juga dapat menyesuaikan diri dengan baik.