PETALING JAYA: Selepas tidak mampu berbuat apa-apa ketika kontinjen negara gagal memenuhi sasaran Sukan SEA 2023, skuasy yang tidak dipertandingkan di Kemboja melaungkan keazaman untuk tidak menghampakan Malaysia apabila sukan itu kembali ‘beraksi’ dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, September ini.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Major (bersara) S. Maniam berkata, mereka menyasarkan untuk mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi di Palembang/Jakarta 2018 biarpun laluan tidak mudah kerana saingan sengit yang dihadirkan oleh Jepun, Hong Kong dan India.
Skuasy telah menyumbang 11 pingat emas sejak dipertandingkan buat kali pertama di Bangkok 1998, di mana Datuk Nicol David muncul pemain paling cemerlang menjuarai perseorangan wanita pada 1998, 2006, 2010, 2014 dan 2018.
Ong Beng Hee menjuarai perseorangan lelaki 2002 dan 2006 sebelum Mohd. Azlan Iskandar mempertahankan kejuaraan pada 2010.
Maniam berkata, S. Sivasangari yang kalah kepada Nicol dalam final 2018 menjadi sandaran terbaik negara dalam perseorangan wanita, manakala Ng Eain Yow mengetuai perseorangan lelaki.
“Kita sasarkan emas kepada Sivasangari tetapi sebab dia kemalangan beberapa bulan lalu, jadi ranking dunianya jatuh. Sekarang dia sedang buat kemunculan semula.
“Kami harap dia berada pada kemuncak prestasi semasa Sukan Asia nanti, walaupun ada Satomi (Watanabe) dari Jepun yang sekarang menduduki No. 1 Asia, selain Joshna Chinappa (India) dan Tomato Ho (Hong Kong), harap Siva mampu tewaskan mereka.
“Bagi Eain Yow, dia akan hadapi saingan besar dari India. Namun, sama ada Siva atau Eain, saya rasa tiada masalah dapatkan pingat, cuma kalau boleh kita pertahankan emas di Palembang dulu.
“Untuk berpasukan wanita, kami ada Sivasangari, Aifa (Azman), Rachel (Arnold) dan pemain keempat masih dalam pencarian. Pasukan lelaki pula turun sebagai bukan pilihan (underdog). Cuma satu lagi masalah ialah beregu campuran.
“Ini kategori baharu dalam Sukan Asia. Kami akan hantar tiga pasangan ke Kejohanan Asia Beregu Campuran di Hangzhou, China, hujung Jun.
“Di situ kami akan rekod video dan lakukan analisis taktikal permainan Malaysia dan negara lain sebelum kita tentukan pasangan terbaik ke Sukan Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.