PHNOM PENH: Antara tewas kepada Jepun ketika final Sukan Asia 2018 untuk merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ataupun tunduk mengejut kepada jiran, Indonesia yang baru sahaja bertatih untuk bermain hoki dalam dewan, kedua-duanya meninggalkan kesan perit yang amat mendalam buat pemain negara.
Cuma kali ini kedukaan Malaysia dihasilkan oleh anak watan sendiri, Dharma Raj Abdullah yang sudah empat tahun bersama skuad hoki Indonesia sejak 2019.
Dalam tempoh sesingkat ini, Dharma sudah berjaya menukar Indonesia yang dahulunya hanyalah pasukan belasahan dalam acara hoki kepada pasukan yang sudah mampu menggores ego Malaysia sebagai ‘Raja Hoki Asia Tenggara’.
Acara hoki dalam dewan di pentas temasya dwitahunan ini hanya diperkenalkan pada 2017, yang menyaksikan Malaysia pada ketika itu membelasah Indonesia 5-1 dalam perlawanan akhir untuk membawa pulang emas.
“Saya seperti sudah rasa hendak dikebumikan apabila Malaysia mendahului 3-0, apatah lagi masa kian singkat buat kami, kerana perlawanan menentang Malaysia mempunyai perasaan yang sentimental untuk saya.
“Ini sememangnya kebangkitan yang cukup luar biasa, untuk menang selepas ketinggalan 3-0, dan pingat emas ini sememangnya akan menukar hala tuju sukan hoki di Indonesia,” jelas Dharma selepas melihat anak didiknya melakar kemenangan dramatik untuk membawa pulang pingat emas acara hoki dalam dewan yang berlangsung, kelmarin.
Lebih malang, skuad wanita juga turut berputih mata untuk membawa pulang pingat emas apabila tumbang kepada Thailand dalam penentuan shootout selepas terikat tanpa jaringan.
Begitupun, barisan pemain negara kendalian Mohd Hanip Che Halim bertekad akan bangkit selepas reputasi mereka sebagai juara Asia diranapkan Indonesia.
“Kami akan bangkit, janji kami. Indonesia tak akan dominasi hoki dalam dewan. Untuk Sukan SEA atau Piala Asia yang akan datang, kami akan bangkit balik.
“Ini hanya sementara (untuk Indonesia). Pasukan Malaysia akan datang, siap sedia semua,” jelas kapten skuad hoki dalam dewan lelaki, Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah.-UTUSAN