Shereen bangga teruskan legasi hebat ibu bapa

Shereen bangga teruskan legasi hebat ibu bapa

SHEREEN Samson Vallabouy kini menjalani latihan di Malaysia sebelum terbang semula ke Amerika Syarikat, bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Membawa nama besar ibu bapanya, malah baru memecah rekod kebangsaan berusia 30 tahun, Shereen Samson Vallabouy tiba di Phnom Penh dengan menggalas tanggungjawab yang amat berat.

Begitupun atlet berusia 25 tahun itu menangani tekanan dengan tenang untuk menjadi pelari Malaysia pertama meraih pingat emas 400 meter (m) wanita Sukan SEA dalam tempoh 24 tahun.

Sejak memecah rekod kebangsaan milik Rabia Abdul Salam 52.56 saat (s) dengan  masa 51.80s di Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, jangkaan amat tinggi untuk melihat Shereen merampas emas yang kali terakhir dimenangi Malaysia menerusi N. Manimagalay pada 1999.

Kejayaan tersebut disaksikan oleh bapanya, iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA, Samson Vallabouy (800m) dan ibunya, Josephine Mary (400m) yang turut berada di Stadium Morodok Techo semalam.

Shereen yang pertama kali mengambil bahagian dalam Sukan SEA pada 2015 ketika berusia 17 tahun melakukan perlumbaan sempurna dari awal hingga penamat dengan mencatat masa 52.53s, mengatasi dua pencabar rapat dari Vietnam Nguyen Thi Huyen (53.27s) dan Nguyen Thi Hang (53.84s).

“Saya telah bekerja keras untuk menjadi pelari 400m terbaik negara, memecahkan rekod Rabia dan rekod ibu saya sendiri.

“Dia (Josephine) gembira dan bangga dengan saya. Saya bersyukur kerana dapat meneruskan legasi keluarga.

“Saya berterima kasih atas pengorbanan keluarga saya dan juga kehadiran mereka di sini. Ia benar-benar momen yang hebat.

“Saya berasa bersyukur kerana dapat mengharungi latihan, datang ke Malaysia dan menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca. Saya sangat gembira dengan cara saya melaksanakan perlumbaan.

“Sentiasa ada tekanan tetapi bercakap dengan ibu bapa saya – mereka adalah bekas atlet, jadi ia sangat membantu,” kata Shereen yang kini berlatih di AS.

Josephine pula sangat gembira melihat anak perempuannya menjadi juara Sukan SEA seperti dia.

“Kami sangat gembira melihat dia memenangi emas. Emas adalah apa yang negara mahukan dan saya percaya ia akan mengurangkan tekanan ke atasnya dan dia akan terus menjadi lebih baik.

“Saya memberitahunya untuk tidak terlalu yakin tetapi mengharungi perlumbaan yang baik. Saya gembira dia melakukan itu.

“Suami saya telah memenangi tiga emas Sukan SEA dan saya telah memenangi empat emas. Sekarang, kami mempunyai jumlah lapan.

“Saya gembira ia dijalankan dalam keluarga,” katanya yang pernah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik, malah meraih gangsa di Sukan Asia.

Samson turut memuji pencapaian anak perempuannya itu tetapi juga mahu melihat rekod 800m Sukan SEA yang dipegangnya di Kuala Lumpur 1989 iaitu 1 minit, 48.29s akhirnya dipecahkan.

“Saya sangat berbangga melihat Shereen memenangi emas Sukan SEA tetapi saya juga di sini untuk misi lain,” katanya.

“Rekod saya telah bertahan selama 24 tahun dan saya berharap untuk melihat seseorang memecahkannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya