KUALA LUMPUR: Pemenang empat pingat emas, R. Shamendran yang terpilih sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan Sukan SEA 2023, Jumaat ini akan membawa bersama semangat ibunya untuk mempertahankan kejuaraan karate kumite lelaki 75 kilogram (kg).
Atlet berusia 30 tahun itu berkata, ibunya telah membesarkan dia dan adik-beradik sejak kecil secara bersendirian, malah kesusahan yang dirasai terutama daripada segi kewangan banyak mempengaruhi motivasinya ketika bertanding.
Sebagai ibu tunggal, Sambornam Sengodan satu-satunya individu dalam keluarganya yang mencari rezeki dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak di samping menyokong minat mereka dengan memberi bantuan kewangan.
“Kami lalui banyak kesusahan, tidak ramai yang tahu, seperti yang ibu saya ceritakan tadi pun, dia membesarkan kami empat anak, berseorangan. Semasa kami kecil, hanya ibu sahaja yang bekerja.
“Sekarang mungkin orang hanya melihat saya sebagai pembawa bendera, sedangkan zaman kesusahan kami tiada siapa peduli. Bagaimanapun, saya bangga dengan ibu kerana dia berjaya bawa kami ke persada dunia,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Bukit Jalil semalam.
Mengulas mengenai sasaran peribadinya untuk mempertahankan pingat emas, Shamendran berkata, dia akan menganggap setiap pusingan di Kemboja nanti seperti pertarungan akhir bagi menjadikannya kekal fokus.
“Sasaran saya memang mahu pertahankan emas, setiap pusingan penting dan jika mahu menang emas, kena menang setiap pusingan.
“Saya nak menang setiap pusingan dan saya anggap itu semua seperti pusingan akhir. Yang penting, setiap kali saya keluar dari gelanggang, saya rasa seronok dan bangga dengan prestasi yang telah dihasilkan,” katanya.