PETALING JAYA: Negeri Sembilan yang masih kecewa seri 3-3 dengan Kelantan United dalam aksi terakhir Liga Super, Selasa lalu mahu menampilkan taktikal berbeza bagi mengelak dihukum Selangor FC dalam suku akhir Piala FA malam ini.
Selangor yang dibimbing Tan Cheng Hoe pula masih dalam ‘mood’ terbaik selepas menumpaskan Kedah 3-2, Rabu lalu, malah mereka uga menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam pertemuan terakhir 4 April lalu.
Selain akan menurunkan skuad terkuat, pengendali Negeri Sembilan, K. Devan mengakui perlu tampil dengan taktikal berbeza bagi memenangi pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
“Kami menerima berita baik menjelang pertemuan itu, Casagrande (penyerang dari Brazil) dijangka kembali beraksi. Kami juga boleh menurunkan Shahrel Fikri (Md. Fauzi), Safuwan Baharuddin dan Levy Madinda.
“Kami akan memberi tentangan sengit kepada Selangor dan pemain Negeri Sembilan juga sedia untuk bertahan dengan baik.
“Kami tidak hanya akan menyerang, malah bertahan,” kata Devan yang membawa Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana 2021.

Shahrel dan Safuwan kedua-duanya adalah bekas tonggak Red Giants, dan situasi itu pastinya memberi sedikit kelebihan kepada Devan untuk menjinakkan lawan yang kini berada di prestasi terbaik.
Sementara itu, Cheng Hoe yang sedar Devan pasti akan menukar taktikal permainan sudah mempersiapkan pasukannya dengan strategi berbeza berbanding ketika mengalahkan Kedah.
Katanya, beraksi di Negeri Sembilan juga mampu memberi tekanan tambahan kepada pemain-pemainnya, jadi beliau tidak boleh kekal dengan corak permainan yang sama.
“Dalam saingan kalah mati seperti Piala FA mana-mana pasukan boleh menang atau kalah, sebab itu kami perlu lebih bersedia dan waspada dengan ancaman lawan.
“Kalau kita lihat pemain keletihan selepas perlawanan sengit menentang Kedah dan mereka ada dua hari untuk pulih.
“Namun, semua pemain tahu tanggungjawab dan tugas mereka kepada pasukan untuk kekalkan kecergasan,” katanya.