LONDON: Jurgen Klopp menolak dakwaan Mohamed Salah akan meninggalkan Liverpool pada musim panas ini, dengan menegaskan pemain antarabangsa Mesir itu sangat menyukai Reds.
Begitupun, pengurus Liverpool itu menjelaskan jika mana-mana pemain mempunyai keraguan untuk kekal di Anfield selepas kegagalan layak ke Liga Juara-Juara, mereka boleh mencari hala tuju baharu.
Salah mencetus kebimbangan dia sedang mempertimbangkan untuk berpindah, selepas kenyataan di laman sosialnya yang menyentuh pengaruh ejen selain menunjukkan rasa kesal yang mendalam kerana gagal beraksi di peringkat tertinggi Eropah.
Bagaimanapun, Klopp membalas dengan sindiran agak kejam dengan mengatakan beliau sendiri akan menghantar pemain yang ingin menyertai kelab lain selepas Liverpool gagal ke Liga Juara-Juara.
“Jika ada pemain datang kepada saya, dan berkata ‘oh kami tidak layak ke Liga Juara-Juara, saya perlu pergi’, jadi saya sendiri akan memandu dia ke kelab lain.
“Saya akan mengambil kunci, dan berkata ‘masuk dalam kereta, ke mana anda mahu pergi, saya memandu anda’,” kata Klopp.
Terdahulu, Salah dalam Twitter berkata, dia ‘benar-benar hancur kerana terlepas Liga Juara-Juara.
“Tidak ada alasan sama sekali untuk ini. Kami gagal, dan kami mengecewakan anda dan diri kami sendiri,” kata pemain antarabangsa Mesir itu.
I’m totally devastated. There’s absolutely no excuse for this. We had everything we needed to make it to next year’s Champions League and we failed. We are Liverpool and qualifying to the competition is the bare minimum. I am sorry but it’s too soon for an uplifting or optimistic… pic.twitter.com/qZmA9WsueM
— Mohamed Salah (@MoSalah) May 25, 2023
Dengan Paris Saint-Germain (PSG) antara kelab yang dikatakan berminat mendapatkan Salah, terdapat kebimbangan yang tidak dapat dielakkan bahawa wakilnya sedang merancang perpindahan pemain itu.
Begitupun, Klopp menjawab dengan tegas apabila ditanya sama ada dia bimbang Salah akan pergi.
“Saya tidak risau, tidak. Saya tidak dapat membaca apa-apa yang boleh membawa ke arah itu.
“Jelas sekali Salah suka berada di sini dan dia adalah sebahagian daripadanya. Dia memohon maaf atas apa yang ‘kami’ lakukan.
“Dia tidak berkata ‘minta maaf atas apa yang dilakukan oleh pemain lain, tetapi saya terpaksa pergi bersama mereka’… tidak sama sekali. Semuanya baik-baik saja,” katanya.
– AGENSI