PETALING JAYA: Pemain sensasi negara, Safawi Rasid kelihatan gembira kembali berlatih bersama rakan sepasukan di Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas hampir empat bulan dipinjamkan ke kelab Thailand, Ratchaburi FC bermula Januari lalu.
Safawi yang bermain di posisi sayap kanan dilihat mula turun berlatih bersama rakan sepasukan di pusat latihan JDT semalam, sekali gus menyaksikan spekulasi mengenai penghijrahannya ke kelab lain sebelum ini hanya khabar angin.
Malah menerusi perkongsian di Story Instagramnya semalam, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu memberi bayangan untuk terus kekal bersama skuad Harimau Selatan untuk baki musim ini.
Sepanjang bersama Ratchaburi FC, Safawi dilihat kembali menemui sentuhan berbisanya apabila kerap diturunkan bersama pasukan itu dengan membuat 13 penampilan dalam Liga Thailand.
Selain itu, dia juga berjaya meledak satu gol ketika membantu pasukannya menewaskan Chonburi 2-1 pada 19 Mac lalu.
Bagaimanapun, sekembalinya ke JDT, dia perlu bekerja lebih keras untuk merebut tempat di posisi sayap kanan yang kini menjadi milik bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi.-UTUSAN ONLINE