PETALING JAYA: Peruntukan RM20 juta bagi membangunkan satu litar lumba drag di setiap negeri yang dibentang kerajaan terdahulu pada Bajet 2023 tidak pernah dibahas serta mendapat kelulusan di Parlimen.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membubarkan Parlimen selepas pembentangan belanjawan sekali gus menyaksikan bajet tersebut tidak pernah disalur kepada kementerian itu.
“Selain itu, bajet tersebut juga diumumkan tanpa mendapat data dan maklum balas daripada pihak KBS. RM20 juta tidak cukup untuk pembinaan litar di setiap negeri.
“KBS amat prihatin terhadap faktor keselamatan anak muda dan tidak berhasrat untuk membina litar berdasarkan konsep sekadar ada. Tidak dinafikan sukan permotoran di litar drag merupakan perlumbaan di platform yang baik dan bermanfaat.
“Bagaimanapun, keselamatan pelumba, penonton dan semua terlibat perlu diberi keutamaan,” kata KBS dalam satu kenyataan,hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi memberi maklum balas kepada Ismail Sabri yang menyarankan agar kerajaan ketika ini, menerusi KBS meneruskan pembinaan litar drag di setiap negeri yang bernilai RM20 juta seperti cadangan kerajaan terdahulu.
Menurut KBS, pihaknya kekal proaktif dalam mencari kaedah memastikan sukan permotoran dapat terus dilaksana dalam keadaan terkawal dan selamat walaupun kekangan kewangan ketika ini menghalang usaha pembinaan baharu litar permotoran khasnya litar drag.
“Antara usaha dilakukan adalah melalui projek menaik taraf serta memperbaiki kemudahan sedia ada di bawah KBS seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mencapai spesifikasi antarabangsa serta Litar Lumba Tangkak di Johor bagi penggiat sukan permotoran tempatan.
“KBS turut bekerjasama dengan Persatuan Bermotor Malaysia (MAM) dalam memastikan operator serta penganjur sukan permotoran ini dapat melaksanakan program atau aktiviti mereka di litar yang selamat dengan membuat penyenaraian litar-litar kekal yang telah disahkan serta menyediakan spesifikasi minimum bagi litar sementara,” katanya.
Pada masa yang sama KBS menerusi Jabatan belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan MAM sedang giat membangunkan garis panduan sukan bermotor termasuk perlumbaan drag dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif seterusnya mengurangkan risiko perlumbaan.