Rexy tidak puas hati keputusan berat sebelah pengadil

Rexy tidak puas hati keputusan berat sebelah pengadil

REXY Mainaky meraikan kejayaan Pearly Tan-M. Thinaah menumpaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota pada kejohanan Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemaraan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah ke separuh akhir Malaysia Masters turut disulami dengan kontroversi ekoran keputusan pengadil perlawanan terhadap pasangan negara yang disifatkan berat sebelah oleh Rexy Mainaky.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu berkata, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sepertinya mahu mencontohi sukan tenis dalam mengendalikan peraturan, tetapi badan induk itu dilihat masih gagal berbuat demikian.

“Saya tak pernah berdepan situasi ini, ini kali pertama. Saya lihat dalam sukan badminton ini terlalu ketat kepada peraturan, sehingga pemain tak ada kebebasan, semua kena ikut itu dan ini.

“Peraturan diikut macam tenis, tapi segala apa yang dibuat tak ada sama sekali, saya lihat ia terlalu berat sebelah,” katanya ketika ditemui pemberita di Axiata Arena, hari ini.

Dalam aksi suku akhir, Pearly-Thinaah menewaskan beregu No. 9 dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dalam perlawanan yang berlangsung sengit 13-21, 21-19, 21-16 selama 1 jam 51 minit.

Bagaimanapun, ketika permainan sedang rancak berlangsung berlaku dua insiden yang menimbulkan rasa kurang senang Rexy terhadap tindak-tanduk pengadil, Alexander Olennikov dari Serbia di mana kejadian pertama melibatkan Thinaah ditegur kerana membaling raketnya.

Dalam insiden kedua pula, permainan rali yang panjang pada ketika beregu Malaysia ketinggalan 11-12 dalam set ketiga secara tiba-tiba dihentikan pengadil hanya kerana jurulatih Jepun dikatakan memberi arahan ketika aksi sedang rancak berlangsung.

“Saya persoalkan kepada pengadil, dia tegur pasal Thinaah, saya tanya kepada dia apa pasal kamu tegur dan pengadil kata kerana Thinaah buang raket, tapi saya bilang Thinaah hanya melepaskan raket, dia bukan buang raket, itu bukan satu kesalahan, jadi, saya bilang kamu salah.

“Kejadian yang kedua ketika rali yang panjang, saya bilang permainan sedang rancak berlangsung, pemain penat tapi pengadil hentikan permainan kerana jurulatih Jepun bercakap, disitu langsung saya komplen kepada (ketua) pengadil yang mana dia juga bekas pemain.

“Jadi, saya bilang kamu sebagai bekas pemain kamu harus lihat sewaktu rali pemain penat, tetapi dia bilang dia orang harus ikut praturan,” jelas Rexy.

Justeru, menurut Rexy, peraturan memang perlu dipatuhi, tetapi ia perlulah dilaksanakan dengan cara yang adil dan menguntungkan kedua-dua belah pihak.

“Peraturan kalau ia dibuat untuk kedua-dua pihak saya suka, tetapi jika ia hanya untuk sebelah pihak saya tak terima,” tegasnya.

Mengulas pula mengenai aksi Pearly dan Thinaah, jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata, perlawanan itu berlangsung sengit dan diselangi dengan permainan rali yang panjang.

“Pearly semasa set pertama sebenarnya dia bukan penat, tetapi pernafasan dia masih belum bisa lepas kerana perlawanan, semalam, dan bagi set kedua dan ketiga, kita cuma sokong apa yang mereka sedang lakukan, jika mereka tahan semasa latihan, maka, mereka mampu lakukan dalam permainan,” katanya.

Pada separuh akhir, esok, Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan No. 5 dunia, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong selepas gandingan dari Korea Selatan itu mengetepikan pilihan kedua, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-15, 18-21, 21-16. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya