PHNOM PENH: Selepas memahat sejarah layak ke final ping pong berpasukan wanita Sukan SEA buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, langkah Malaysia untuk merangkul pingat emas dikecewakan oleh Thailand.
Jurang besar dapat dilihat ketika pasukan negara tumpas 0-3 di Dewan Pingpong Stadium Nasional Morodok Techo, hari ini.
Turun sebagai pemain pertama, Karen Lyne tewas 0-3 (5-11, 9-11, 9-11) kepada Suthasini Sawettabut sebelum Alice Chang Li Sian hampir mencipta kejutan, namun akur dalam pertarungan sengit (11-5, 6-11, 6-11, 11-8, 9-11) di tangan Orawan Paranang.
Usaha Tee Ai Xin untuk mencetus kebangkitan berakhir dengan kekalahan mudah 2-11, 8-11, 7-11 kepada Jinnipa Sawettabut.
Pingat perak bagaimanapun pencapaian yang membanggakan buat pasukan wanita negara yang pulang bersama gangsa di temasya Hanoi, tahun lalu.
“Mara ke final sudah cukup sebagai satu kejutan kerana kami menewaskan Singapura buat kali pertama (di peringkat kumpulan) dan mara ke final Sukan SEA buat kali pertama.
“Ia perlawanan yang sengit. Lawan saya itu adalah juara perseorangan wanita pada temasya Sukan SEA yang lalu,” kata Ai Xin. – UTUSAN ONLINE