PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) akan berusaha menyelesaikan kemelut pemotongan gaji yang melanda pemain Kelantan FC bagi musim ini.
Usaha berkenaan akan dilaksanakan selepas wakil pemain bagi Kelantan FC sudah mengadakan pertemuan dengan pihak PFAM di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Eksekutif Undang Undang PFAM, Syafiq Jebat, pihaknya memiliki prosedur bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang bola sepak.
“Secara umum masalah ini timbul sebab isu kontrak. Benda-benda ini saya tidak katakan rumit tetapi ada masalah yang boleh dikatakan ada pelanggaran dalam kontrak. Kita ada prosedur yang boleh kita ambil untuk langkah seterusnya.
“Kita boleh bertemu atau menghantar surat kepada Kelantan FC cuma kita perlu terima laporan, kita proses apa sepatutnya. Tidak ada masalah untuk bincang, cuma paling penting sekarang kita jaga pemain.
“Kita mahu dapatkan penyelesaian terbaik untuk pemain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Syafiq menjelaskan sebarang tindakan yang bakal diambil adalah berlandasan saluran bola sepak dan membabitkan pemegang taruh seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta pasukan terbabit.
Baru-baru ini, penjaga gol Kelantan FC, Farhan Abu Bakar telah berkongsi kisah sedih apabila gajinya yang tertunggak tidak dibayar penuh, sebaliknya dia diminta oleh pihak pengurusan untuk memohon duit pendahuluan atau ‘advance’.
“Kalau nak ikutkan mana cukup untuk saya ambil balik kereta kerana saya kena bayar RM3,960 untuk ambil balik dari pihak bank. Jadi bila saya hubungi bahagian kewangan pasukan, mereka boleh pula suruh saya mohon ‘advance’, sedang yang saya minta itu gaji saya,” katanya.-UTUSAN ONLINE