Penyudah Kedah masih ‘berkarat’

Penyudah Kedah masih ‘berkarat’

KDA FC menang bergaya 5-0 ke atas Kelantan FC dalam aksi Liga Super 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan FC kelmarin, kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Ott merasakan aksinya bersama rakan sepasukan masih ‘berkarat’ selepas tiga minggu berehat daripada saingan Liga Super.

Justeru pemain kelahiran Jerman yang menyarung jersi kebangsaan Filipina itu mahu terus meningkatkan prestasi bersama rakan-rakan sepasukan bagi berdepan dua cabaran ampuh daripada Selangor FC dan Sabah FC, selepas ini.

Menurut Ott, Sang Kenari tidak mahu lagi keciciran mata berharga bagi memastikan mereka mampu terus memberi saingan di kelompok teratas Liga Super, musim ini.

“Menang ke atas Kelantan dengan jaringan besar memang satu keputusan yang baik. Sangat bagus sebenarnya untuk melihat bagaimana kami menjalankan tugas dengan baik dan bekerja keras bagi mendapatkan keputusan sebegitu.

“Tetapi sejujurnya saya rasa kami agak ‘berkarat’ selepas bercuti selama tiga minggu sebelum ini. Namun kemenangan ke atas Kelantan ini sudah tentu satu permulaan baik bagi kami meneruskan momentum kemenangan ke atas pasukan ditentang selepas ini,” katanya.

Mengulas perubahan taktikal Ketua Jurulatih Sang Kenari yang tampil dengan formasi 4-3-3 berbanding 4-2-3-1 yang sering diketengahkan sebelum ini, Ott berkata, beliau bersama rakan sepasukan sentiasa percaya terhadap perancangan dilakukan Nafuzi Zain dan bersedia melaksanakan apa jua yang diarahkan.

“Kami bermain baik menentang Kelantan dan tugasan diberikan Nafuzi saya lihat berjaya dilaksanakan walaupun tampil berbeza. Apa saja arahan jurulatih, kami sedia sempurnakan kerana beliau sudah tentu memiliki perancangan tersendiri untuk memastikan kami memiliki tiga mata penuh.

“Segalanya bagus namun seperti saya nyatakan tadi, kami sedikit berkarat dalam aksi menentang Kelantan. Namun saya yakin, selepas ini kami akan semakin lancar dalam gerak kerja berpasukan dan mampu menampilkan aksi lebih baik,” katanya.

Menjelang pertemuan menentang Selangor di tempat lawan, Ott menjangkakan perlawanan itu akan berlangsung cukup sengit.

“Jelas sekali mereka melaksanakan tugas yang baik pada musim ini. Perlawanan ini akan menjadi cukup menarik dan getir tetapi harap-harapnya, kami mendapat keputusan positif nanti,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya