Nor Iman tahan sakit demi raih emas pertama kickboxing

Nor Iman tahan sakit demi raih emas pertama kickboxing

AKSI Ahmad Nor Iman Hakim Rakib (kiri) ketika menentang Firman Muharram Syach dari Indonesia dalam pertarungan akhir kickboxing bawah 69 kilogram Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: “Biar muka pecah, demi dapatkan emas”.

Itu janji Ahmad Nor Iman Hakim Rakib sebelum turun ke gelanggang hari ini, dan dia mengotakan janjinya apabila menghadiahkan pingat emas kickboxing pertama buat Malaysia dalam sejarah Sukan SEA.

Nor Iman, 23, melupakan kesakitan ditumbuk di bahagian muka pada separuh akhir semalam untuk menundukkan peserta Indonesia, Firman Muharram Syach 2-1 dalam saingan kick light bawah 69 kilogram (kg) lelaki di Elephant Hall Morodok Techo.

Bagi Nor Iman, kecederaan di muka yang dihadapinya ketika pusingan separuh akhir menentang atlet tuan rumah, Tep Yinyan sebelum mencatat kemenangan 3-0 merupakan lumrah dalam sukan tempur sebegini.

Jurulatih skuad kickboxing negara, Jake Low menganggap kejayaan Nor Iman melayakkan diri ke final sudah menjangkaui sasaran awal iaitu untuk membawa pulang satu pingat gangsa.

Kata Nor Iman, rahsia dia mampu ‘kental’ untuk menghadapi pertarungan akhir adalah mendapatkan restu daripada bapanya sebelum turun bertarung.

Lebih membanggakan apabila atlet berusia 23 tahun itu tidak menjadikan keadaan demam yang dialaminya sebagai penghalang untuk menyumbang emas ke-33 negara di Kemboja.

“Terima kasih kepada ISN (Institut Sukan Negara) kerana saya terpaksa diurut tiga kali sebab nak bagi badan saya dalam keadaan baik. Nampak macam alasan, tetapi itulah yang buat saya bersemangat.

“Saya harap keluarga saya gembira sebab adik saya dapat emas dulu (di Sukan SEA). Saya ada hubungi ayah dan dia bagi strategi, semangat dan pesan buat yang terbaik,” katanya.

Emas yang dimenangi itu juga amat bermakna buat Nor Iman kerana ini kali pertama dia tampil dalam sukan kickboxing di pentas Sukan SEA selepas sebelum ini meraih perak dan gangsa dalam sukan taekwondo pada edisi 2019 dan 2021.

Nor Iman turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Muaythai Malaysia yang banyak membantu dalam mencapai cita-citanya untuk menggenggam pingat emas di Sukan SEA.

“Saya tak boleh nak jelaskan bagaimana gembiranya saya ketika ini. Bermula dari pingat perak, gangsa dan akhirnya pingat emas ini jadi milik saya,” katanya.

Memenangi emas adalah kegembiraan buat kickboxing dan memberi petanda positif buat untuk sukan itu berkembang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya