MILAN: Pengurus AC Milan, Stefano Pioli yakin pasukannya akan bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Inter Milan pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi apabila kedua-dua musuh sebandar itu berentap sekali lagi minggu depan.
Inter meraih dua gol awal menerusi Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan sekali gus mempunyai kelebihan menjelang aksi timbal balik di San Siro, 17 Mei ini.
“Realitinya ialah Inter beraksi lebih baik pada separuh masa pertama, menjaringkan dua gol, manakala Milan menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua tetapi gagal menjaringkan gol,” kata Pioli kepada Amazon Prime Italia.
Kekalahan kepada Inter adalah yang ketiga dialami Milan dalam tempoh semusim, sesuatu yang tidak pernah mereka alami sejak kempen 1994-1995.
The oldest #UCL semi-final goalscorers:
Ryan Giggs (37y 148d) – 26 April 2011
Edin Dzeko (37y 54d) – Tonight ⬅️
Phillip Cocu (34y 187d) – 4 May 2005
Xabi Alonso (34y 160d) – 3 May 2016
Karim Benzema (34y 136d) – 4 May 2022
Karim Benzema (34y 128d) – 26 April 2022… pic.twitter.com/35Wd3riKfb— Opta Analyst (@OptaAnalyst) May 10, 2023
Milan mengalahkan Inter 3-2 dalam aksi Serie A, September lalu sebelum mengalami kekalahan berturut-turut, 0-3 dalam Piala Super Itali dan 0-1 di Serie A.
Pioli bagaimanapun memuji semangat pasukannya ketika berusaha untuk kekal di landasan bagi memenangi trofi elit kelab Eropah itu buat kali kelapan, 16 tahun selepas kejayaan terakhir mereka pada 2007.
“Kami mempunyai peluang pada babak kedua, jadi pada perlawanan kedua, kami memerlukan lebih kualiti dan lebih agresif,” katanya.
Penyerang, Rafael Leao terlepas beraksi perlawanan itu kerana mengalami kecederaan tetapi Pioli percaya pemain antarabangsa Portugal itu akan kembali cergas untuk perlawanan kedua.
“Dia tidak berada dalam situasi mampu beraksi hari ini. Ada enam hari lagi dan kami berharap dia akan bersedia,” katanya. – AGENSI