PHNOM PENH: Skuad bola sepak bawah 22 (B-22) tahun negara menepati ramalan untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Laos apabila mencatatkan kemenangan 5-1 bagi aksi Kumpulan B Sukan SEA Kemboja.
Aksi yang berlangsung di Stadium Prince, Phnom Penh sebentar tadi menyaksikan Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Ubaidullah Shamsul Faziili meledak pada minit keempat.
Keriangan Ubaidullah tidak berpanjangan apabila pemain kelahiran Kelantan ini tertampan bola ke gawang sendiri sekaligus memberi ruang buat Laos menyamakan kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke 21.
Skuad kendalian E.Elavarasan tidak menunggu lama untuk kembali di hadapan apabila kali ini giliran pertahanan Laos, Anantaza Siphongphan melakukan kesilapan untuk gol sendiri pada minti ke 28.
Aksi di babak kedua menyaksikan Malaysia melancarkan asakan bertubi-tubi namun tidak berhasil sehinggalah Syahir Bashah melakukan rembatan voli pada minit ke 75 untuk gol ketiga skuad negara.
Fergus Tierney hampir menambah derita Laos pada minit ke 79, namun rembatannya hanya menyinggah di tiang gol tatkala penjaga gol lawan, Solasak Thilavong sudah tertewas.
Pemain berpeluang untuk menebus kekecewaannya itu pada minit ke 84, bagaimanapun lambungannya dari luar kotak penalti berjaya ditepis Thivalong.
Gol keempat negara akhirnya menjelma juga apabila Najmuddin Akmal Kamal Akmal berjaya meluru untuk menyambar bola muntah pada masa tambahan.
Tatkala Malaysia sudah berpuas hati dengan empat gol, Laos semakin derita apabila pemain mereka sendiri, Phoutthavong Sangvilay menjaringkan gol selepas gagal mengeluarkan bola berpunca daripada sepakan sudut dari Malaysia.
Kemenangan ke atas Laos sudah pasti menjadi tonik terbaik buat barisan pemain muda negara yang akan berdepan tugas getir menentang pasukan pilihan, Thailand di gelanggang sama, Sabtu ini.