PETALING JAYA: Skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara berpeluang untuk membalas kekecewaan di Sukan SEA Kemboja tempohari apabila diundi menentang musuh tradisi, Thailand ketika aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok yang akan berlangsung 6 hingga 12 September depan.
Berdasarkan undian yang berlangsung hari ini, Malaysia yang dikendalikan E.Elavarasan akan menentang skuad Gajah Perang itu pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan H.
Terdahulu, Malaysia dikecewakan Thailand ketika kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Kumpulan B di Sukan SEA Kemboja apabila tewas dengan keputusan 0-2.
Selain Thailand, Malaysia diundi bersama-sama Bangladesh dan Filipina dan juara kumpulan akan mara secara automatik ke Piala Asia B-23 tahun hadapan.
Kejohanan kelayakan itu juga turut menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi empat pasukan terbaik di Piala Asia B-23.
Kali terakhir skuad bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah ketika edisi 1980 Moscow, namun Kerajaan Malaysia memboikot daripada menyertai temasya sukan terbesar dunia itu kerana membantah serangan ke atas bumi Afghanistan.