PHNOM PENH: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara mahu pertahankan rekod kemenangan 100 peratus dalam peringkat kumpulan Sukan SEA Kemboja 2023 menentang Thailand esok, namun bakal menggunakan pendekatan yang berbeza.
Terdahulu skuad kendalian Mohd Hanip Che Halim menjadikan jiran tetangga, Singapura sebagai mangsa belasahan terbaru dengan mencatatkan kemenangan 5-0.
Bagaimanapun Hanip jelas tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan itu apabila banyak mempersia-siakan peluang meledak jaringan menerusi pukulan sudut penalti.
Justeru dia mengharapkan sentuhan lebih kemas bakal dipamerkan anak buahnya dalam usaha untuk memburu kemenangan keempat dalam saingan ini.
“Kita memperolehi 9 pukulan sudut penalti tetapi hanya yg berjaya jaringkan dua gol daripadanya. Yang lain nampak serba tidak menjadi.
“Antara punca yg telah dikenalpasti adalah pemain kita tidak melakukan hantaran dengan tepat kepada rakan sepasukan, disamping keadaan bola yang agak melekat.
“Pada pertemuan dengan Thailand esok, kemungkinan ada sedikit perubahan dari segi taktikal dan juga percaturan pemain. Kami akan turun dengan misi untuk terus mengutip tiga mata bagi perlawanan keempat,” jelas Hanip.
Kali terakhir Malaysia berentap dengan Thailand adalah ketika Kejohanan Hoki Dalam Dewan Asia Ogos lalu yang dimenangi skuad negara dengan keputusan 5-0.