PETALING JAYA: Gara-gara maklumat peribadi disebarkan di media sosial dan menerima kecaman teruk daripada warga maya, wartawan Utusan Malaysia, Nor Liyana Tarmizi membuat laporan polis semalam.
Nor Liyana menerima mesej berbaur ugutan dan kecaman daripada pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan tajuk berita yang disiarkan di Utusan Online pada 25 Mei Lalu.
Berita yang bertajuk, “Zii Jia beri alasan tidak sihat sebagai punca kekalahan” tidak disenangi peminat badminton tanah air sehingga menyebabkan dia diserang dengan kata-kata kesat di semua akaun peribadi media sosial.
Selain itu, warga maya turut meluahkan kemarahan mereka di Twitter dan TikTok dengan cara keterlaluan iaitu menangkap layar akaun media sosial wartawan tersebut dengan tujuan menyebabkan keselamatan penulis terancam dan memalukan.
“Saya menerima pautan (link) Twitter dengan reaksi lebih 500 quote yang menghina saya, termasuk telah dijadikan video di TikTok. Mereka memaparkan akaun media sosial saya iaitu Facebook dan Linkedin.
“Mereka telah menyebarkan maklumat peribadi saya, memalukan dan mengancam keselamatan saya ketika bekerja,” kata Nor Liyana yang membuat laporan di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur.
Kejadian seumpama ini bukanlah kali pertama berlaku dalam arena sukan negara dan tidak sepatutnya berulang kerana sikap mereka membimbangkan petugas media ketika bekerja.