MANCHESTER: Erik ten Hag mengakui, Harry Maguire perlu membuat keputusan mengenai masa depannya selepas tidak gembira dengan peranan kecil yang dimainkan bersama Manchester United musim ini.
Pertahanan England itu hanya membuat 16 penampilan musim ini, lapan daripadanya dalam kesebelasan utama pada aksi Liga Perdana Inggeris.
Sejak mengambil alih United, Ten Hag lebih berminat meletakkan Lisandro Martinez dan Raphael Varane di posisi pertahanan tengah.
Maguire dijangka meninggalkan Old Trafford dengan United bersedia menerima tawaran buat pemain 30 tahun itu, yang memecah rekod perpindahan dunia bagi tonggak pertahanan ketika berpindah dari Leicester City pada harga 80 juta pound (RM455 juta) empat tahun lalu.
“Tidak ada pemain yang akan gembira (kurang minit permainan) dengan situasi ini, begitu juga dia.
“Harry sentiasa berlatih pada tahap terbaik dengan 100 peratus diberikan. Dia menanganinya dengan baik dan jawatan kaptennya penting untuk skuad.
“Begitupun dia perlu bersaing dengan Raphael Varane yang cukup cemerlang, jadi dia perlu membuat keputusan,” kata Ten Hag berkenaan Maguire.
Ten Hag juga menjangkakan penjaga gol, David de Gea akan kekal di Old Trafford dengan menandatangani kontrak baharu, namun memberi amaran dia tidak dijamin kedudukan nombor satu.
United bakal menandatangani penjaga gol baharu sebagai saingan kepada De Gea, dan Ten Hag.
“Saya tidak akan kata dia sentiasa menjadi nombor satu kerana dalam kelab seperti Man United, semua posisi perlu ada persaingan.
“Anda tidak boleh melakukannya dengan hanya 11 pemain. Ia mustahil. Anda perlu posisi berganda. Ia bukan apa yang saya mahukan, ia apa yang bola sepak tahap tinggi tuntut ketika ini.
“Jika anda lihat pasukan-pasukan besar, anda perlu bermain dari belakang dan menggunakan penjaga gol sebagai pemain tambahan, jika tidak mudah bagi lawan untuk memberi tekanan.
“Dia perlu meningkatkan permainannya. Dalam beberapa perlawanan dia menunjukkan peningkatan,” kata jurulatih dari Belanda itu. – AGENSI