PHNOM PENH: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim kecewa barisan atlet olahraga negara gagal menepati sasaran 10 emas yang di tetapkan di Sukan SEA 2023.
Acara trek dan padang yang menutup tirai kelmarin menyaksikan Malaysia hanya mampu membawa pulang lima pingat emas, tiga pingat perak dan 11 pingat gangsa.
Bagi Shahidan, beliau sebenarnya menaruh harapan tinggi agar atlet olahraga negara dapat menuai emas lebih banyak berbanding edisi lalu iaitu lima emas, tiga perak dan lapan gangsa berdasarkan kepada perkiraan dan prestasi terkini atlet sedia ada.
“Mana nak puas hati? kalau dapat 12 emas barulah saya puas hati namun jika ikut perkiraan lima tambah tiga nak dekat 10 emas sekali gus hampir mencapai sasaran.
“Namun, saya bersyukur kerana usaha gigih yang dilakukan dalam jangka masa pendek akhirnya dapat kejayaan positif.
“Jika tidak dapat gangsa mungkin saya rasa kurang menyeronokkan tapi bila dapat pingat itu membuktikan pendedahan pertama di Sukan SEA kepada atlet muda adalah berjaya,” katanya.
Umar Osman, 20, antara atlet olahraga paling cemerlang apabila memecah rekod 400 meter (m) lelaki berusia 22 tahun ketika merangkul emas pertama negara sejak 2001.
Malaysia juga menguasai saingan 400m wanita apabila Shereen Samson Vallabouy memenangi acara yang sudah 24 tahun tidak pernah menjadi milik Malaysia.
Tiga lagi emas hadir menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin, yang merangkul kejuaraan lempar cakera lelaki buat kali keenam berturut-turut, selain Grace Wong (baling tukul besi wanita) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang lelaki).
Begitupun, Shahidan tetap berpuas hati dengan pendekatan badan induk itu menghantar atlet muda apabila bukan sahaja pungutan pingat gangsa bertambah, malah atlet seperti Umar berjaya melakar kejutan.