PETALING JAYA: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou berjaya membawa dua gelaran juara ketika menyertai saingan Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain yang berlangsung di Manama, Bahrain.
Aksi perlawanan akhir yang berlangsung semalam di ISA Sport City, Manama semalam menyaksikan Liek Hou berjaya menewaskan seteru utamanya di Indonesia, Suryo Nugroho dengan keputusan 21-13, 21-10 selepas 34 minit bertarung dalam gelanggang.
Kemenangan ini juga membalas kembali kekalahan Liek Hou di tangan Nugroho di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Thailand minggu lalu.
Beberapa jam kemudian, Liek Hou kembali turun ke gelanggang semula, kali ini berpasangan dengan Muhammad Fareez Anuar dalam acara beregu lelaki kategori SU5.
Gandingan negara ini berdepan dengan Chirag Baretha dan Raj Kumar yang menyaksikan mereka berjaya menewaskan pasangan India itu dengan keputusan 21-18, 19-21, 21-14.
“Minggu lepas tidak dapat beraksi di Thailand dan minggu ini pula kita kasi gegar di negara Bahrain.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya, saya akan pulang ke tanah air esok (hari ini) dan kembali ke latihan untuk pertandingan yang seterusnya,” jelas Liek Hou ringkas dalam laman media sosialnya.