KEGAGALAN Malaysia memenuhi sasaran 40 pingat emas dalam Sukan SEA 2023 mencetuskan ‘huru-hara’ dalam kalangan peminat dan komuniti sukan tanah air.
Sudahlah tersasar enam emas, kontinjen negara menamatkan perjuangan di tangga ketujuh pungutan pingat keseluruhan, kedudukan terburuk dalam sejarah, apatah lagi berada di bawah Kemboja, Filipina dan Singapura.
Benar Malaysia menghantar 440 muka baharu daripada 676 atlet yang dihantar ke Kemboja, malah 387 orang atau 56.33 peratus pula berusia bawah 23 tahun.
Begitupun harus diingat, sasaran 40 emas, 37 perak dan 64 gangsa dibuat dengan mengambil kira semua faktor tersebut. Atlet muda, muka baharu, ranking, prestasi semasa dan kekuatan lawan.
Bukan sekali tetapi tiga kali mesyuarat bersama persatuan-persatuan sukan diadakan barulah menteri, Hannah Yeoh berani mengumumkan sasaran, jadi suka atau tidak kita harus berjiwa besar mengakui, kontinjen ini telah gagal.
Gagal memenuhi sasaran, gagal dalam sukan tertentu yang sepatutnya membutirkan emas, gagal menyaingi lawan lebih baik prestasinya atau atlet negara yang tidak berada di tahap sepatutnya.
Bagaimanapun dalam mencari punca kegagalan, menyalahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semata-mata bukan penyelesaian bijak.
Semua persatuan kena cari punca kenapa gagal memenuhi sasaran yang mereka sendiri tetapkan, tengok semula apakah program-program yang ada sekarang berkesan atau tidak relevan.
Olahraga contohnya, kita menang lima pingat emas, tiga perak dan 11 gangsa. Benar, mereka penyumbang terbesar tetapi dengan mengambil kira 47 emas ditawarkan, apakah ia memadai? Sudah tentu tidak.
Malaysia pernah menjadi kuasa olahraga Asia Tenggara, malah pada 1997 di Jakarta kita mengaut 16 emas olahraga. Acara jarak jauh ‘makanan’ kita suatu ketika dulu, namun sekarang apa sudah jadi?
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bersama MSN kena duduk bersama memikirkan bagaimana kita boleh kembali kuasai olahraga, bersaing dengan Thailand (16 emas) dan Vietnam (12).
Renang juga menawarkan emas yang banyak. Di Kemboja, 39 acara dipertandingkan tapi kita hanya menang satu menerusi Khiew Hoe Yean yang mempertahankan gelaran 200 meter (m) gaya bebas lelaki.
Begitupun renang agak ‘istimewa’. Ramai tidak sedar, ketika Malaysia menguasai kolam renang satu ketika dulu, penguasaan negara sebenarnya tertumpu kepada seorang dua perenang sahaja.
Sebagai contoh, Nurul Huda Abdullah memenangi sehingga lapan emas (Kuala Lumpur 1989) dan tujuh emas (Bangkok 1985, Jakarta 1987) dalam satu temasya. Daniel Bego pernah meraih lima emas di Vientiane 2009.
Persekutuan Renang Malaysia (MS) perlu menyusun semula program latihan dan pembangunan kerana jelas apa yang mereka lakukan selama ini kurang berkesan.
Sebenarnya kontinjen Singapura secara keseluruhan tidaklah jauh lebih baik daripada Malaysia. cuma renang mereka menyumbang 22 daripada 51 emas yang dimenangi negara itu. Bayangkan kalau renang kita boleh raih sekurang-kurangnya lapan emas, bukankah sasaran sudah tercapai?
Badminton satu lagi sukan yang pulang tangan kosong. Benar BAM membariskan pemain muda tapi standard pelapis juga tidak seharusnya terlalu ketinggalan. Hanya dua acara kita masuk final, berpasukan lelaki dan beregu campuran, itu statistik yang mengecewakan.
Dalam berpasukan wanita, kita boleh tewas 0-3 kepada Filipina di suku akhir? Ia sangat menakutkan.
Begitupun, ada beberapa sukan dan atlet yang amat membanggakan usah tenggelamkan kejayaan mereka hanya kerana kegagalan kontinjen memenuhi sasaran emas.
Kemampuan Umar Osman meraih emas 400m lelaki dengan memadam rekod kebangsaan berusia 22 tahun antara yang mencuri tumpuan, begitu juga bakat terjun Lee Yiat Qing serta pemain golf berusia 15 tahun, Ng Jing Xuen yang meraih emas dalam penampilan sulung.
Pencak silat (empat emas), karate (4), terjun (4) dan taekwondo juga antara sukan cemerlang yang menjanjikan masa depan cerah. Wusyu pula memberi harapan menjelang Sukan Asia di China, September ini, begitu juga pelayaran dan hoki padang.