PHNOM PENH: Barisan atlet pecut wanita negara memberikan saingan sengit dalam acara 4×100 meter (m) yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, sebentar tadi.
Kuartet Malaysia yang dibarisi Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal, dan Nur Aisyah Rofina Aling cuba mencabar kuartet Thailand yang meraih pingat emas serta Vietnam yang menggondol perak.
Biarpun gagal mengatasi mereka, barisan pelari negara masih boleh berbangga apabila melakar masa 44.58 saat(s) untuk membawa pulang pingat gangsa.
Catatan itu telah cukup untuk memecahkan rekod kebangsaan, 45.18s yang dicipta Nurul Faizah Asma Mazlan, Siti Fatimah Mohamad, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah di Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di Kalinga Stadium, Odisha, India pada 2017.
Keputusan di Phnom Penh ini juga turut mengulangi skrip di Hanoi tahun lalu, apabila Thailand, Vietnam dan Malaysia berjaya mempertahankan kedudukan pingat masing-masing.
“Kami memang meletakkan sasaran untuk perbaharui rekod kebangsaan dan jika mendapat pingat adalah bonus. Sudah pastinya kami gembira walaupun mengakhiri perlumbaan dengan pingat gangsa.
“Perkara penting adalah kehadiran saya dalam kuartet 4×100 wanita dapat membantu pelari baharu seperti Afrina dan Aishah yang kali pertama beraksi di pentas Sukan Sea,” jelas Zaidatul.
Dalam pada itu, kuartet 4×100 m lelaki juga menampilkan aksi membanggakan apabila meraih pingat gangsa.
Bagaimanapun, situasi menjadi pelik apabila Malaysia yang dibarisi Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail diumumkan terpaksa berkongsi pingat tersebut dengan Singapura setelah melakar masa yang sama iaitu 39.36s.
Indonesia meraih pingat emas dengan rekod 39.11s, manakala Thailand berpuas hati dengan pingat perak.