RATUSAN Tentera Diraja Kemboja telah berkampung di perkarangan venue utama Sukan SEA 2023 iaitu Kompleks Sukan Morodok Techo sebagai persediaan bukan sahaja untuk menghadapi upacara perasmian pembukaan semalam, malah bertugas menjaga keselamatan awam sepanjang temasya ini berlangsung sehingga 17 Mei.
Difahamkan barisan tentera ini telah pun dipanggil dari serata wilayah Kemboja untuk bertugas yang menyaksikan mereka membina kem sementara sejak awal bulan ini.
Bagaimanapun kem sementara yang terdapat di sekitar Kompleks Sukan Morodok Techo tidak berada dalam keadaan terurus, apabila mereka secara terbuka menyidai kain basahan serta mandi di tepi jalan.
Selain itu, sampah sarap yang bertimbun hasil kerja-kerja pembinaan di sekitar kompleks ini juga tidak dibersihkan dengan baik
Situasi ini mencacatkan pemandangan ribuan peminat hadir yang menyaksikan acara pembukaan dan mencalarkan reputasi Kemboja sebagai tuan rumah.
Apatah lagi ini kali pertama mereka menjadi penganjur sejak Sukan SEA yang dahulunya dikenali sebagai Sukan SEAP diadakan pada tahun 1959.
Sekolah, pusat pengajian tinggi ditutup kerana Sukan SEA
KEMENTERIAN Pendidikan Kemboja mengarahkan semua sekolah dan institusi pengajian tinggi tempatan ditutup sejak 20 April lalu sehingga 18 Mei ini bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukan SEA kali ini.
Begitupun, arahan tersebut telah mendapat kecaman daripada masyarakat setempat.
Justeru kementerian terpaksa mengubah semula arahan mereka dengan membenarkan semua pusat pengajian dibuka semula, namun hanya untuk peperiksaan, bergantung kepada keperluan institusi masing masing.
Semua tiket percuma licin
PENDEKATAN kerajaan Kemboja menawarkan tiket percuma membabitkan semua 37 jenis sukan mendapat sambutan menggalakan.
Antara sukan yang laku keras sudah pasti bola sepak, dengan tuan rumah meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir.
Bagaimanapun sebahagian besar peminat tempatan mengeluh apabila sukar mendapat tiket bagi menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan mereka beraksi.
Justeru mereka terpaksa berpuas hati diberikan tiket membabitkan perlawanan negara lain, atas dasar memeriahkan venue pertandingan sepanjang temasya.