KUALA LUMPUR: Pemenang pingat pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik, Datuk Seri Jalani Sidek bimbang dengan keadaan kecergasan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tidak mencapai tahap sepatutnya.
Katanya, memandangkan proses kelayakan ke Olimpik Paris 2024 sudah bermula dan memecahkan gandingan itu bu jalan terbaik, Aaron-Wooi Yik serta barisan jurulatih perlu segera mencari cara untuk menaikkan prestasi mereka.
“Kalau ada masalah kecergasan perbaikilah sampai berjaya, begitu juga dengan permainan mereka kerana Sukan Olimpik semakin hampir.
“Kita tidak punya masa untuk memecahkan beregu ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Jalani yang memenangi pingat gangsa bersama abangnya, Datuk Razif Sidek dalam acara beregu lelaki pada Olimpik Barcelona 1992 berkata, keadaan pasangan No. 2 dunia itu membimbangkan ketika mereka menjadi sandaran memburu emas Malaysia.
Kelmarin, Aaron-Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar pada suku akhir Malaysia Masters kepada pasangan No. 9 dunia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.
“Kembalilah ke gelanggang latihan bagi memperbaiki segala kekurangan yang ada, apabila kekuatan sudah hancur dan ketahanan juga sudah tak ada, kekuatan mental akan turut sama merudum.
“Penambahbaikan perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan juara dunia itu daripada terus jatuh tersungkur, lebih-lebih lagi Sukan Olimpik di Paris sudah semakin dekat.
“Mereka perlu duduk berbincang dengan jurulatih mencari satu persatu kelemahan dan kesilapan yang mereka lakukan dalam pertandingan yang disertai, selidik dan teliti bagi mengenal pasti kelemahan itu,” katanya di sini, semalam.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan beregu No. 2 dunia ditunjukkan tumpas kepada Leo-Daniel 18-21, 19-21.
Menurut Jalani, kekuatan mental akan datang dengan sendirinya apabila prestasi yang merudum jatuh itu berjaya diperbaiki nanti.
Beliau menjelaskan, sebagai juara dunia, Aaron dan Wooi Yik tidak seharusnya tumpas dengan sebarang beregu yang berada di bawah mereka.
“Saya perhatikan kalau dulu Aaron yang duduk di belakang, tetapi kini dah bertukar Wooi Yik pula mengisi posisi itu dan Aaron berada di depan.
“Perubahan itu juga menyebabkan persembahan beregu No. 2 dunia tersebut semakin kacau bilau apabila Wooi Yik terlalu kerap melakukan kesilapan,” ujarnya.