PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia kini memberi bayangan jurulatih baharu yang akan melatihnya tidak lama lagi dalam usaha mempersiapkan diri menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Meskipun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai individu tersebut, namun pemain berusia 25 tahun itu berkata jurulatih yang bakal membimbingnya itu nanti pernah menghasilkan atlet berstatus juara.
“Yang saya boleh sahkan, jurulatih itu pernah melatih atlet yang pernah menjadi juara,” katanya.
Zii Jia ditemui pemberita selepas memenangi pusingan akhir Piala Presiden 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara dengan menewaskan Ng Tze Yong, 21-8, 18-21, 21-12.
Dalam perkembangan sama, dia yang turut tersenarai dalam program Road to Gold (RTG) menganggap kejohanan ini merupakan simulasi penting untuk menghadapi Piala Sudirman yang bakal berlangsung minggu hadapan, pada 14 hingga 21 Mei.
Biarpun terpaksa melalui perlawanan hingga ke set penentuan, namun juara All England 2021 itu berpuas hati dengan kualiti permainan bersama bekas rakan sepetalihnya semasa di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dahulu.
“Saya rasa perlawanan ini normal dan perlawanan yang baik dengan Tze Yong, apatah lagi kami berdua beraksi di hadapan para penyokong Malaysia. Permainan yang baik untuk saya ke Piala Sudirman,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C bersama negara- negara hebat Chinese Taipei, India dan Australia, Zii Jia berkata dia tidak dapat memberi jangkaan namun menjanjikan untuk melakukan segala yang termampu.
“Pada saya, zaman sekarang, semua (negara dan pemain) sama (bagus). Saya rasa pada hari pertandingan nanti, kita akan tengok siapa lawan kita dan untuk saya pula, saya hanya mahu lakukan sehabis baik,” katanya.
Chinese Taipei dan India, masing-masing akan akan diwakili pemain lelaki perseorangan mereka iaitu Chou Tien Chen yang kini menduduki tangga ke-5 dunia dan Prannoy H.S di tangga ke-9 dunia.
Malaysia akan menghantar 20 atlet ke kejohanan itu, terdiri daripada empat pasangan beregu dan selebihnya bermain dalam acara perseorangan, dengan misi layak ke separuh akhir. -UTUSAN ONLINE