PHNOM PENH: Jujitsu mahu menerima penghormatan sebagai sukan pertama yang menawarkan pingat emas buat Malaysia dalam Sukan SEA Kemboja yang akan membuka tirai secara rasmi esok.
Kilauan emas itu dijangka hadir Sabtu ini, di mana Adam Akasyah yang beraksi dalam saingan Waza Gi 69 kilogram (kg) menjadi sandaran terbaik.
Selain Adam, jujitsu turut mempertandingkan empat acara akhir dalam Waza Gi bawah 62kg, Waza Nogi 57kg, Duo wanita serta Show lelaki individu.
Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Mohd. Nasir Ali menjangkakan, Adam mampu menukar warna perak yang diraih di Hanoi tahun lalu kepada emas melihat kepada kemampuannya.
Tahun lalu, atlet berusia 22 tahun itu terpaksa akur tewas kepada pencabar dari Singapura, Noah Lim dalam saingan akhir kerana mengalami kecederaan patah buku lali.
“Dalam program kita (kontinjen Malaysia), kita jangka selepas upacara perasmian pada 5 Mei, keesokan harinya ada pertandingan jujitsu, di mana kita menaruh harapan kepada seorang atlet, yang memang dalam sasaran meraih emas.
“Jadi kita harapkan dia (Adam) dapat meraih emas. Insya-Allah (emas pertama Malaysia).
“Dulu dia pernah bertanding dan mengalami kecederaan tetapi sekarang semangat dia lagi kuat,” kata Nasir selepas majlis menaikkan bendera di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh semalam.
Malaysia meletakkan sasaran untuk membawa pulang 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa pada temasya Kemboja 2023.