PETALING JAYA: Pemain golf wanita negara, Ng Jing Xuen meletakkan sasaran untuk beraksi lebih banyak di kejohanan luar negara bagi meningkatkan prestasinya dalam usaha menukar status pemain amatur kepada profesional.
Jing Xuen yang menjadi pemain wanita pertama negara merangkul emas di Sukan SEA berkata, kejohanan di luar negara mempunyai standard yang lebih tinggi dan diyakini mampu untuk memberi pengalaman berbeza.
Bagaimanapun, berbeza dengan pemain golf yang lain yang lebih memilih untuk ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengembangkan bakat, sebaliknya Jing Xuen lebih kepada negara Asia seperti Thailand, Taiwan dan Jepun untuk menimba pengalaman.
“Saya berharap dapat sertai lebih banyak kejohanan luar negara seperti di Thailand, Taiwan dan Jepun pada masa akan datang. Kejohanan luar negara membolehkan saya menimba pengalaman dan bersaing dengan pemain lebih berwibawa.
“Kejohanan luar negara juga akan membantu saya melengkapkan sasaran untuk bertukar kepada pemain profesional dalam dua tahun akan datang ketika saya berumur 17 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Meraikan Pasukan Golf Sukan SEA Kemboja di The Mines Resort & Golf Club hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim dan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor
Pada Sukan SEA Kemboja, Jing Xuen mencipta sejarah apabila menjadi pemain golf pertama negara meraih emas dalam acara golf individu wanita di Sukan SEA.
Jing Xuen menewaskan pesaingnya yang lebih terkenal, Eila Galitsky dari Thailand dengan memenangi lubang pertama playoff di Kelab Golf Garden City di Phnom Penh, Kemboja.
Mengulas lanjut, Jing Xuen berkata, dia juga mengharapkan sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak untuk merealisasikan impiannya untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa di luar negara.
“Sekarang memang ada syarikat korporat yang menaja saya bagi menyertai kejohanan yang disertai. Tetapi, jika ada lebih banyak tajaan, saya mungkin boleh menyertai pelbagai kejohanan yang besar dan berprestij,” katanya.-UTUSAN ONLINE