PHNOM PENH: Atlet snuker negara, Moh Keen Hoo memastikan kontinjen Malaysia terus menambah koleksi pingat emas apabila mengungguli acara individu 6 red ball yang berlangsung di Sek Sok, Phnom Penh hari ini.
Keen Hoo yang tidak asing dalam aksi temasya dwitahunan ini sejak membuat penampilan di Manila pada 2005 diberi tentangan sengit oleh pencabar dari Laos, Siththideth Sakbieng pada perlawanan akhir.
Sebelum itu, Sakbieng telah pun menyingkirkan rakan sepasukan Keen Hoo, Lim Kok Leong yang merupakan penyandang pingat emas acara ini di Hanoi tahun lalu ketika aksi suku akhir.
Situasi tampak semakin mencemaskan apabila Sakbieng mengatasi Keen Hoo dengan keputusan 3-0, namun atlet berusia 36 tahun ini menggunakan segala pengalaman dimiliki untuk melakukan kebangkitan, yang berkesudahan 5-3 berpihak kepada Keen Hoo.
Kejayaan membawa pulang pingat emas ini juga turut menebus kekecewaanya yang sekadar meraih pingat gangsa untuk acara ini ketika menyertai saingan di Hanoi tahun lalu.
“Pada mulanya memang saya tidak dapat beraksi dengan baik, sebab saya terlalu meletakkan terhadap diri saya. Selepas ketinggalan 3-0, saya cuba tenangkan diri dan saya bernasib baik kerana dapat mengejar. Dia banyak melakukan kesilapan ketika frame keempat, dan begitu juga frame yang seterusnya.
“Saya merasai tekanan sehingga frame yang terakhir kerana kami meletakkan sasaran untuk memenangi emas menerusi acara ini. Ini merupakan acara kami yang pertama dan bila Kok Leong tewas, tekanan terarah kepada saya untuk memghadiahkan pingat emas,” jelas Keen Hoo.