PETALING JAYA: Kejayaan kuartet 4×100 meter (m) wanita Malaysia muncul juara Terbuka Singapura minggu lalu telah menarik tumpuan peminat sukan tanah air, namun itu tidak meletakkan mereka sebagai pilihan untuk menang emas Sukan SEA 2023 kerana kebanyakan negara tidak menghantar pasukan terkuat pada kejohanan tersebut.
Pemegang rekod 400m kebangsaan, Zaiful Zainal Abidin yang membantu Malaysia meraih emas 4x400m dalam Sukan SEA 2007 menegaskan, kejohanan di Singapura juga hanya digunakan sebagai ‘perang’ psikologi oleh negara lain yang sengaja memberi kemenangan kepada lawan sebagai strategi.
Kata Zaiful, kemenangan itu juga seharusnya membuka mata olahraga Malaysia agar memikirkan semula keputusan menghantar atlet berusia 30-andalam kejohanan ‘kecil’.
Dalam perlumbaan Jumaat lalu, kombinasi Azreen Nabila Alias selaku pelari pertama, diikuti Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling meraih emas dengan masa 45.70 saat (s), mengatasi Singapura (45.82s) dan Thailand (46.06s).
Rekod kebangsaan acara itu adalah 45.18s yang dicatat pada Kejohanan Asia 2017, manakala rekod Sukan SEA dipegang kuartet Vietnam iaitu 43.88s yang dilakukan di Kuala Lumpur 2017.
Kuartet wanita negara ungguli acara 4x100m Terbuka Singapura. Tahniah!#NadiArena #AstroArena pic.twitter.com/vjn5ufNmnq
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 28, 2023
“Saya pernah berada dalam situasi tersebut tetapi dalam perlumbaan 4x400m. Ikutkan pada zaman itu, kami dihantar ke semua kejohanan, baik kecil atau besar.
“Namun, melihat kejayaan di Singapura baru-baru ini, saya mahu komen sebab saya pernah lalui perkara sama.
“Bagi saya, negara lain hanya menghantar pasukan kedua dan ketiga di Singapura, jadi tidaklah pelik kalau kita mampu menang.
“Mereka simpan skuad utama, mungkin kerana berpendapat pertandingan itu kecil. Itu tak jadi masalah sebab mereka beri peluang kepada atlet muda.
“Walaupun membariskan pelari kurang berpengalaman, namun tidak mustahil mereka sengaja kalahkan diri sendiri untuk lihat strategi negara pemenang. Cuba lihat Filipina dan Vietnam, mereka diam tapi selalunya pada Sukan SEA, mereka yang meletup.
“Jadi, kalau mahu berbangga dengan kemenangan itu, sebenarnya terlalu awal kerana keputusan sebenar di Sukan SEA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, Zaiful turut mengulas mengenai prestasi atlet remaja Malaysia dalam Kejohanan Remaja Dunia Bawah 18 tahun di Ezbekistan, hujung April lalu yang gagal menempatkan diri di podium berbanding Thailand yang berhasil memenangi beberapa pingat.
Katanya, pendekatan yang dilakukan negara jiran adalah dengan mengambil bekas atlet sebagai jurulatih atlet remaja, manakala atlet elit hanya dihantar ke kejohanan utama.
“Seorang atlet mereka yang menang dilatih oleh rakan sezaman saya dahulu. Bagusnya di sana, mereka guna kelebihan bekas atlet untuklatih atlet muda,” katanya.