JOHOR BAHRU: Skuad ragbi kebangsaan diingat untuk tidak terlalu merendah diri apabila menentang pasukan profesional dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang bakal bermula, bulan depan.
Ketua Jurulatihnya, Mohd. Farid Syazwan Abu Bakar sebaliknya berkata, pihaknya akan memastikan pemain negara memberi tumpuan kepada kekuatan kendiri selain terus memperbaiki teknik permainan dari masa ke semasa.
Sungguhpun demikian, beliau tetap akur status Malaysia dalam kejohanan itu sebagai sebuah pasukan ‘underdog’.
“Dalam kejohanan ini, kita bermain dalam Premier Divisyen bersama dua pasukan bertaraf profesional, sepanjang 11 pertemuan menentang Korea Selatan dan lapan menentang Hong Kong sebelum ini, sekalipun kita tidak pernah menang.
“Namun, itu tidak bermakna kita tidak akan berusaha sebaik mungkin, saya juga sudah ingatkan pemain, hormat pasukan lawan sudah pasti tapi jangan merendah diri.
“Skuad ragbi kebangsaan sudah menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan saya yakin barisan pemain mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan membanggakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Ragbi Johor, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Farid Syazwan, pihaknya juga akan menggunakan keadaan cuaca Malaysia yang sedang dilanda fenomena El-Nino ketika ini sebagai kelebihan semasa perlawanan pertama menentang Korea Selatan di ibu negara pada 3 Jun ini.
“Kami akan cuba ambil kesempatan keadaan cuaca kita, ini kerana perlawanan bermula pukul 2 petang dan kita juga sudah membiasakan pemain negara untuk berlatih dalam keadaan cuaca sedemikian,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya turut menjadikan kejohanan itu sebagai medan melahirkan lebih ramai bakat tempatan apabila turut memanggil muka baharu menyertai skuad kebangsaan.
“Untuk kejohanan ini, kita panggil seramai 30 pemain dan 10 daripada mereka merupakan muka baharu yang dikenalpasti melalui Kejohanan Ragbi Piala Agong lalu.
“Ini satu proses yang baik dalam memastikan kemenjadian seseorang pemain ragbi tersebut, dalam masa sama kita juga dapat meningkatkan lagi mutu kejurulatihan bidang sukan ini.
“Apa yang kita cuba tanamkan adalah semangat kompetitif pemain khususnya ketika berdepan pemain bertaraf profesional, ini kerana Korea Selatan dan Hong Kong merupakan antara negara ragbi utama bagi rantau Asia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE