PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki remaja negara, Amin Abdul Rahim mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka apabila turun membuat perhitungan dengan Korea Selatan bagi aksi ketiga Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia di Salalah, Oman esok.
Kemenangan bakal menjamin tempat buat skuad negara ke peringkat separuh akhir apabila Malaysia cemerlang membelasah Uzbekistan dan Bangladesh dalam dua perlawanan sebelum ini.
Ibarat bertemu buku dan ruas, Korea Selatan dilihat lawan setaraf Malaysia memandangkan pasukan itu sering memberikan tentangan sengit buat kem negara di pentas antarabangsa.
Rekod perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan juga seimbang apabila daripada enam pertemuan sebelum ini sejak 1993, tiga daripadanya dimenangi Malaysia, dan tiga lagi memihak kepada Korea Selatan.
Bagaimanapun kali terakhir kedua-dua pasukan berentap adalah ketika peringkat suku akhir Piala Remaja Asia 2015 di Kuantan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam tempoh 60 minit sebelum Korea Selatan menghampakan Malaysia dengan keputusan 1-4 apabila perlawanan ditentukan menerusi penalti shoot-out.
Justeru kerisauan utama Amin adalah ketajaman barisan penggempur Korea Selatan memandangkan sebanyak 14 gol berjaya dihasilkan mereka dalam dua perlawanan sebelum ini, sembilan daripadanya hadir menrusi pukulan sudut penalti.
“Untuk perlawanan menentang Korea, kita nampak mereka ada beberapa kekuatan terutamanya dari segi pukulan sudut penalti, jadi kita kena beri tumpuan untuk tidak memberikan mereka peluang itu, kita kena bertahan dengan baik.
“Sudah pasti kita akan bermain seperti mana kita beraksi menentang Bangladesh, tetapi bakal ada perubahan taktikal, saya harap pemain gunakan para pemain manfaatkan rehat sehari yang ada ini sebelum turun menentang Korea Selatan,” tambahnya.