PHNOM PENH: Impian skuad badminton negara untuk melakar satu kejutan di Sukan SEA Kemboja 2023 tidak kesampaian tewas dengan keputusan 1-3 dalam perlawanan akhir acara berpasukan lelaki yang berlangsung di Dewan Badminton Kompleks Nasional Morodok Techo, Phnom Penh hari ini.
Skuad negara bermula dengan baik apabila perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengejutkan taruhan terbaik lawan, Chico Aura Dwi Wardoyo yang berada di ranking ke 19 dunia dengan kemenangan 21-16, 21013 dalam tempoh 31 minit.
Bagaimanapun Indonesia kembali menyamakan kedudukan menjadi 1-1 apabila juara All England 2022, Shohibul Fikri dan Bagas Maulana menundukkan beregu lelaki negara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe dengan keputusan 12-21, 20-22.
Harapan negara semakin tipis apabila Lee Shun Yang gagal beraksi di tahap sebenar mudah dijinakkan lawan, Christian Adinata dengan keputusan 17-21, 9-21.
Mata kemenangan Indonesia akhirnya dinoktahkan beregu lelaki mereka, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Rambitan yang diberikan tentangan sengit oleh Chia Weijie-Liew Xun dengan keputusan 21-13, 16-21, 16-21 selepas bertarung selama 50 minit.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia masih lagi kempunan untuk meraih pingat emas dalam acara berpasukan lelaki, dengan kali terakhir skuad negara berjaya melakukannya adalah pada 2005 Manila.
“Memang kita sudah mencuba berikan yang terbaik, dan kita akui pihak lawan beraksi lebih baik daripada kami untuk hari ini.
“Bagi saya, lawan merupakan pemain yang berpengalaman dan mereka lebih tahu bagaimana untuk mengawal tekanan dalam situasi sebegini, serta mereka juga mempunyai kualiti pukulan yang lebih baik,” jelas Weijie.
Barisan pemain negara masih berpeluang untuk menebus kekecewaan apabila akan kembali turun berentap dalam acara individu yang akan bermula pada esok.