PHNOM PENH: Skuad taekwondo negara melakar kebangkitan untuk kembali meraih dua pingat emas di Sukan SEA Kemboja, dengan salah satunya hadir hasil kecekalan Nur Humaira Abdul Karim yang beraksi dalam acara poomsae hari ini.
Terdahulu, Humaira berputih mata apabila terlepas untuk menghadirkan kilauan pingat emas dalam acara berpasukan wanita bersama kakaknya, Nurul Hidayah Abdul Karim dan Lim Wei Jie.
Trio negara ini terpaksa akur berada di belakang Filipina yang lebih unggul untuk membawa pulang pingat perak.
Bagaimanapun Humaira segera bangkit untuk kembali turun ke gelanggang dalam acara individu dengan mempamerkan rutin yang cukup kemas sehingga memperoleh 7.430 mata.
Kutipan mata itu sudah cukup untuk mengatasi pencabar dari Singapura Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudairi yang melakar catatan 7.260 mata.
Pingat gangsa milik peserta tuan rumah, Mang Kanithyda yang meraih 7.090 mata.
Sejurus selepas itu, giliran Hidayah pula menyinar dalam acara berpasukan campuran apabila gandingannya bersama Jason Loo berjaya mempamerkan rutin yang penuh bertenaga.
Kemenangan Malaysia dalam acara ini hanya dibezakan 0.01 mata dengan pencabar terdekat Vietnam apabila kedua-dua negara terikat dari segi pungutan mata iaitu sebanyak 7.550 mata pada awalnya.
Pemenang terpaksa ditentikan menerusi pusingan penentuan apabila Malaysia meraih 4.34 mata, sementara Vietnam pula meraih 4.33 mata. Pingat Gangsa menjadi milik Filipina.
“Saya rasa lega kerana dapat memenangi pingat emas ini, saya langsung tidak menyangka akan dapat meraihnya dalam acara individu. Kami meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita tetapi terlepasnya hany disebabkan perbezaan yang sangat tipis.
“Jurulatih sempat memberitahu kami, ini adalah kesempata terbaik untukmeraih pingat emas dalam acara individu setelah kami berputih mata dalam acara berpasukan wanita. Saya rasa lebih bermotivasi dan cuba untuk berikan yang terbaik untuk memenangi pingat emas,” jelas Hidayah.