PHNOM PENH: Skuad lelaki dan wanita negara meneruskan ‘pesta gol’ dalam acara hoki dalam dewan Sukan SEA 2023 apabila membelasah Filipina pada aksi kedua saingan round-robin hari ini.
Selepas membelasah Kemboja 10-1 semalam, pasukan lelaki negara membenam Filipina 19-0 di Dinosaur Park Hall, Pusat Konvensyen Chroy Changvar.
Faridzul Afiq Mohd. dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan masing-masing meledak empat gol untuk meletakkan Malaysia sebagai pilihan utama membawa pulang pingat emas.
Dalam saingan wanita, Malaysia yang menumpaskan Singapura 8-0 semalam, ‘meratah’ Filipina 12-0.
“Alhamdulillah kami memperoleh kemenangan dengan jaringan besar dalam perlawanan kedua, namun yang penting adalah tiga mata penuh berjaya dikutip untuk meletakkan Malaysia di kedudukan teratas carta.
“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan apa yang telah ditampilkan pemain kerana setiap perbincangan yang dilakukan bagi memperbetulkan kelemahan, telah mereka terjemahkan di dalam perlawanan selain menunjukkan komitmen yang begitu baik sekali.
“Kami memanfaatkan perlawanan hari ini untuk mempertajamkan kelemahan-kelemahan yang dilihat pada perlawanan semalam dan kami juga menggunakannya sebagai persiapan bagi menghadapi seteru utama iaitu Thailand dan Indonesia,” kata ketua jurulatih skuad lelaki negara, Mohd. Hanip Che Halim – UTUSAN ONLINE